Ringkasan AI
- Barisan Nasional (BN) telah memuktamadkan calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning, yang akan diumumkan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam masa terdekat.
- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 26 April, dengan penamaan calon pada 12 April dan pengundian awal pada 22 April.
- PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, yang menang dengan majoriti 2,213 undi pada PRU15.
Setiausaha Agung BN Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata calon itu akan diumumkan Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam masa terdekat.
"BN juga kini sedang mempersiapkan jentera bagi menghadapi PRK ini," katanya kepada pemberita selepas majlis Ihya Ramadan di Kementerian Pendidikan Tinggi di sini hari ini.
Semalam, Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan berkata enam nama termasuk calon muda disenarai pendek untuk mewakili parti itu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini, dengan penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 dan 22 April.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin pada 22 Feb lepas akibat serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Ishsam yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah menang dengan majoriti 2,213 undi dalam persaingan lima penjuru.
-- BERNAMA
