Bekas Perdana Menteri itu hadir bagi hari kelima untuk dirakam percakapan berhubung dakwaan kes rasuah dan pengubahan wang haram semasa memegang kerajaan dari 2021 hingga 2022.
Ahli Parlimen Bera itu tiba dengan menaiki kenderaan berwarna hitam jenis Vellfire sambil diiringi polis pengiring.
Seperti hari-hari sebelum ini, Ismail Sabri sentiasa akan memastikan tingkap kenderaan yang dinaiki dibuka untuk beliau menyapa dan melambai petugas media yang menanti ketibaannya di luar pekarangan Ibu Pejabat SPRM.
Semalam (Rabu), Ahli Parlimen berusiaa 65 tahun itu menghabiskan masa lebih enam jam untuk proses percakapan beliau dirakamkan.
Keterangan beliau kali pertama dirakamkankan pada 19 Februari lalu berkaitan pengisytiharan aset.
Dalam perkembangan sama, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, seorang pengurup wang ditahan berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram kes Ismail Sabri, semalam.
Menurutnya, suspek direman selama dua hari bagi membantu siasatan, namun dilepaskan selepas mengadu sakit jantung.
Suspek kemudian dirujuk kepada doktor dan disahkan mengalami masalah jantung tersumbat sebelum dilepaskan bagi menerima rawatan lanjut.
Selain itu, proses merakam keterangan Ismail Sabri dijangka mengambil beberapa sesi lagi sebelum boleh diselesaikan.
Manakala bagi kemungkinan pendakwaan ke atas Ismail Sabri, masih ada beberapa individu lain yang perlu dipanggil untuk dirakam keterangan.
Untuk rekod, siasatan SPRM ke atas Ismail Sabri dilancarkan susulan penemuan wang tunai dalam pelbagai mata wang asing serta jongkong emas yang secara keseluruhan berjumlah RM177 juta.
Pendedahan itu dibuat menerusi siri serbuan membabitkan tiga premis, termasuk sebuah 'safe house' di sekitar ibu negara milik bekas pegawai kanan Ismail Sabri.
Semua hasil rampasan turut dikaitkan dengan perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta program publisiti sewaktu Ismail Sabri memegang tampuk kepimpinan kerajaan.
SPRM juga dilaporkan menyita 13 akaun bank bagi membantu siasatan kes.
