KTMB dalam kenyataan semalam memaklumkan bahawa empat perkhidmatan ETS tambahan itu melibatkan perjalanan dua hari sebelum sambutan Aidilfitri, iaitu pada 28 dan 30 Mac, serta dua hari selepas sambutan Aidilfitri, iaitu pada 5 dan 6 April ini.
"Perkhidmatan ini menawarkan 1,254 tempat duduk setiap hari, termasuk pilihan tempat duduk kelas perniagaan.
"Secara keseluruhan, sebanyak 5,016 tempat duduk disediakan bagi tempoh operasi ini untuk memenuhi keperluan pengguna," menurut kenyataan itu, yang turut memaklumkan bahawa tiket tren tambahan akan mula dijual hari ini (20 Mac) bermula jam 10 pagi.
Pada 3 Mac lalu, KTMB telah menawarkan empat perkhidmatan ETS tambahan bagi tempoh 28 Mac hingga 6 April 2025 berikutan tiket tren berjadual sedia ada telah habis dijual.
Menurut kenyataan itu, jumlah keseluruhan perkhidmatan yang ditawarkan adalah sebanyak 40 tren sehari sepanjang tempoh 28 Mac hingga 6 April, dengan jumlah tempat duduk sebanyak 117,996.
Para pengguna boleh membeli tiket melalui aplikasi KTM Mobile (KITS), mesin kios atau di laman sesawang KTMB, www.ktmb.com.my.
-- BERNAMA
