KUALA LUMPUR: Jualan tiket tambahan bagi perkhidmatan Tren Ekspres Lambaian Aidiladha (ELA) ke Pantai Timur sempena Hari Raya Aidiladha dibuka mulai 8 malam ini bagi memberi peluang kepada yang tidak berkesempatan mendapatkan tiket sebelum ini.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), dalam kenyataan hari ini, memaklumkan penambahan dua lagi perkhidmatan ELA melibatkan 952 tiket termasuk koc katil, koc tempat duduk premier, koc tempat duduk superior, koc buffet, dan koc chillax dibuat berikutan permintaan menggalakkan pada jualan lepas.

Perjalanan Tren ELA adalah pada 27 Jun yang mana laluan KL Sentral ke Tumpat dijadual berlepas pada jam 11 malam dan tiba 3.53 petang keesokan hari, manakala laluan Tumpat ke KL Sentral bertolak pada jam 6 petang dan tiba jam 9.32 pagi keesokan hari.

"Tren ELA akan berhenti di 17 stesen iaitu Stesen KL Sentral, Bandar Tasik Selatan, Kajang, Seremban, Pulau Sebang, Gemas, Bahau, Mentakab, Jerantut, Kuala Lipis, Gua Musang, Dabong, Kuala Kral, Tanah Merah, Pasir Mas, Wakaf Bharu dan Tumpat," menurut kenyataan itu.

Tiket-tiket akan dijual bermula daripada RM55 hingga RM83 bagi perjalanan sehala.

Pengguna KTMB disarankan membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) yang boleh dimuat turun melalui Play Store, Appstore dan App Gallery atau menerusi laman sesawang KTMB www.ktmb.com.my.

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-2267 1200 atau saluran media sosial rasmi KTMB.

-- BERNAMA