LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) antara pasukan yang turut memohon lesen Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi musim depan.

Kedah menjadi antara enam kelab Liga Malaysia (Liga-M) yang telah mengemukakan permohonan, bersama Johor Darul Ta'zim (JDT), Selangor FC, Sabah FC, Terengganu FC dan Penang FC.

Menurut pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd, status permohonan hanya akan diumumkan pada penghujung bulan ini.

"Keenam-enam kelab ini akan mengetahui status lesen AFC mereka pada akhir Mac. Jika memenuhi semua syarat, mereka akan layak beraksi di peringkat Asia," katanya.

Berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh MFL, juara Liga Super akan mendapat tiket automatik ke Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE), manakala naib juara akan bersaing di ACL II.

Dengan kedudukan semasa liga, Johor Darul Ta'zim (JDT) sudah pun mengesahkan tempat di ACLE, manakala pasukan lain seperti Selangor FC dijangka bertanding di ACL II.

Bagi pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), kelayakan ke pentas Asia masih cabaran utama apabila perlu memperkukuh prestasi dan mengatasi masalah yang membelenggu pasukan di Liga Super.

Untuk mendapatkan Lesen AFC, setiap kelab perlu mematuhi enam aspek utama, iaitu infrastruktur, personal & pentadbiran, undang-undang, kewangan, serta perniagaan.

Lesen ini sah untuk tempoh satu musim dan boleh ditarik balik sekiranya terdapat pelanggaran syarat. - Sinar Harian