PEMANGKU Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd, mengesahkan status jumlah penyertaan kelab dalam saingan Liga Super musim depan hanya akan diketahui selepas 30 April depan.

Dengan hanya berbaki 44 hari lagi, ia akan menjadi tempoh yang sangat kritikal, terutama buat kelab yang sedang bergelut dengan isu kewangan.

Jelas Mohd Shazli, MFL sentiasa berhubung rapat dengan pasukan terlibat, termasuk mereka yang sedang berdepan masalah tunggakan gaji, demi memastikan kelancaran proses permohonan pelesenan kelab kebangsaan.

Dia percaya 13 pasukan Liga Super sedia ada mampu kekal untuk harungi saingan musim baru serta komited untuk melengkapkan segala terma dan syarat yang telah ditetapkan badan pengelola Liga Malaysia itu.

Terdahulu, pada 12 Mac lalu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dalam satu sesi soal jawab bersama penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT), memberi bayangan bahawa Sri Pahang dan Kedah Darul Aman berkemungkinan besar tidak lagi akan beraksi di pentas Liga Super bermula musim depan.

"Semua kelab kini dalam proses melengkapkan pelesenan kelab, ada dua pelesenan kelab yang menjadi keutamaan," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.

"Sudah pasti yang pertama adalah pelesenan di peringkat AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) yang akan berakhir pada 31 Mac ini.

"Pelesenan Kebangsaan pula akan berakhir pada 30 April depan. Jadi, sebarang perkara melibatkan struktur (liga) hanya akan diketahui selepas 30 April depan dan selepas FIB (badan bebas, First Instance Body) bermesyuarat dan memutuskan kelab mana yang berjaya lulus untuk bermain musim depan," katanya.

- StadiumAstro.com