KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines melanjutkan kerjasama strategik dengan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bagi tempoh tiga tahun lagi hingga 2027, sebagai sebahagian daripada komitmen berterusannya dalam menyokong sukan tempatan dan menyemai perasan bangga terhadap negara melalui bola sepak.

MFL dalam kenyataan hari ini memaklumkan kerjasama itu mencerminkan strategi lebih luas Malaysia Airlines menggunakan sukan sebagai platform untuk menyatukan negara dan mempamerkan budaya Malaysia di pentas global serta mengukuhkan komitmennya dalam memberikan pengalaman luar biasa sama ada di udara mahupun di padang.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Aviation Group (MAG) Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata keputusan untuk meneruskan kerjasama itu memperlihatkan komitmen pihaknya bukan sahaja dalam menyokong sukan tempatan tetapi juga meningkatkan penglibatan jenama itu dengan masyarakat.

"Kami berharap untuk mengukuhkan hubungan kami dengan peminat, memacu pertumbuhan dan meraikan kejayaan bersama-sama. Kerjasama ini selaras dengan strategi kami untuk memupuk perasaan bangga kepada negara dan menyumbang kepada pembangunan sukan di Malaysia," katanya menerusi kenyataan sama pada Isnin.

Sementara itu, Presiden MFL Datuk Ab Ghani Hassan berkata kerjasama berterusan dengan Malaysia Airlines membantu memastikan urusan perjalanan bagi setiap aksi dalam liga berjalan lancar dan beliau amat menghargai serta menyambut komitmen untuk tiga tahun lagi itu.

Perjanjian bagi kerjasama itu ditandatangani Ketua Pegawai Komersial MAG Dersenish Aresandiran dan Ketua Pegawai Operasi MFL Mohd Shazli Shaik Mohd, disaksikan Ab Ghani pada Sabtu lepas ketika Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.

-- BERNAMA