ISTANBUL: Protes besar-besaran tercetus di Turkiye selepas pihak berkuasa menahan Datuk Bandar Istanbul hanya beberapa hari sebelum beliau dijangka dipilih sebagai calon Presiden.

Ekrem Imamoglu dari Parti Rakyat Republik (CHP) yang sekular, dilihat sebagai salah seorang pesaing politik terkuat kepada Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Pendakwa raya menuduh beliau terlibat dalam rasuah dan membantu kumpulan pengganas, dengan melabelnya sebagai "suspek ketua organisasi jenayah."

Dalam masa sama, polis menahan 100 orang, termasuk ahli politik lain, wartawan, dan ahli perniagaan sebagai melengkapkan sebahagian daripada siasatan ini.
Pejabat Gabenor Istanbul telah mengenakan sekatan selama empat hari di bandar tersebut.

Imamoglu menulis di media sosial bahawa "kehendak rakyat tidak boleh dibisukan."

Penunjuk perasaan turun ke jalan raya, kampus universiti dan stesen kereta api bawah tanah sambil melaungkan slogan anti-kerajaan.

Ini merupakan ledakan kemarahan rakyat yang belum pernah dilihat sejak bertahun lamanya.

Terdapat laporan pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis di bandar terbesar Turkiye itu.

Rakaman dari agensi berita Reuters menunjukkan polis menggunakan semburan pemedih mata untuk menyuraikan orang ramai di hadapan Universiti Istanbul.

Ribuan orang berhimpun dalam kesejukan di hadapan dewan bandaraya sambil melaungkan: "Erdogan, diktator!" dan "Imamoglu, kamu tidak keseorangan!"

Kerajaan telah melarang perhimpunan awam di Istanbul sebagai sebahagian daripada sekatan selama empat hari.

Bagaimanapun, dijangkakan, lebih banyak protes akan berlaku di seluruh negara selepas pemimpin pembangkang, termasuk isteri Imamoglu, menyeru rakyat untuk "meningkatkan suara mereka."

Beberapa jalan utama di Istanbul juga telah ditutup kepada lalu lintas selain beberapa laluan metro turut dibatalkan.

Dalam satu video media sosial yang dirakam ketika polis berada di luar rumahnya, Imamoglu berjanji untuk "berdiri teguh" demi rakyat Turkiye dan semua yang memperjuangkan demokrasi dan keadilan di seluruh dunia.

Dalam satu nota tulisan tangan yang dimuat naik ke akaun X selepas penahanannya, beliau menegaskan, rakyat Turkiye akan "menjawab pembohongan, konspirasi, dan perangkap" terhadapnya.

Sekatan media sosial dan reaksi antarabangsa

Badan pemantau internet yang berpangkalan di United Kingdom (UK), Netblocks melaporkan, Turkiye telah menyekat akses ke media sosial seperti X, YouTube, Instagram, dan TikTok pada Rabu.

Penahanan Imamoglu berlaku di tengah-tengah tindakan keras secara besar-besaran oleh kerajaan Turkiye sejak beberapa bulan kebelakangan ini, menyasarkan ahli politik pembangkang, wartawan dan individu dalam industri hiburan.

Susulan penahanan ini, ramai menyuarakan kebimbangan bahawa Turkiye semakin beralih ke arah autokrasi.

Ada yang menyeru agar pilihan raya Presiden akan datang diboikot dengan alasan pilihan raya bebas dan adil tidak lagi mungkin berlaku.

Parti CHP, yang diwakili Imamoglu, mengecam penahanan ini sebagai "satu rampasan kuasa terhadap bakal Presiden kami."

Namun, Menteri Kehakiman Turkiye, Yilmaz Tunc menolak dakwaan bahawa Erdogan terlibat dalam penahanan ini.

Beliau berkata, "sangat berbahaya dan salah" untuk menganggap tindakan ini bermotifkan politik dan menegaskan bahawa tiada sesiapa di atas undang-undang di Turkiye.

Erdogan dan partinya turut menafikan dakwaan mereka mempengaruhi sistem kehakiman.

Tahun lalu, Imamoglu memenangi penggal kedua sebagai Datuk Bandar Istanbul selepas partinya, CHP, menewaskan parti Erdogan dalam pilihan raya tempatan di seluruh negara, termasuk di Ankara.

Ini adalah kali pertama sejak Erdogan berkuasa, partinya mengalami kekalahan besar di peti undi.

Pilihan raya itu merupakan tamparan peribadi kepada Erdogan, yang dibesarkan di Istanbul dan pernah menjadi Datuk Bandar bandar itu sebelum naik ke tampuk kuasa.

Puluhan pegawai polis dikerahkan dalam serbuan awal pagi di rumah Imamoglu di Istanbul.

Parti CHP dijangka mengadakan pemilihan calon Presiden pada hari Ahad ini, di mana Imamoglu adalah satu-satunya calon.

Penahanan Imamoglu berlaku sehari selepas Universiti Istanbul membatalkan ijazahnya atas dakwaan penyelewengan akademik.

Jika keputusan itu disahkan, beliau akan dihalang daripada bertanding dalam pilihan raya Presiden kerana Perlembagaan Turkiye menetapkan bahawa calon presiden mesti mempunyai kelulusan pendidikan tinggi.

Imamoglu menolak keputusan tersebut, menyifatkannya sebagai "tidak berasas dari segi undang-undang" dan menegaskan universiti "mesti kekal bebas daripada campur tangan politik."

Masa depan politik Turkiye

Pilihan raya presiden Turkiye dijadualkan pada 2028.

Erdogan tidak boleh bertanding lagi kerana sudah berkhidmat selama dua penggal dan pernah menjadi Perdana Menteri sebelum itu.

Satu-satunya cara untuk Erdogan bertanding lagi ialah dengan mengubah Perlembagaan atau mengadakan pilihan raya awal sebelum penggalnya tamat.

Selain tuduhan rasuah dan penipuan, Imamoglu juga didakwa membantu PKK (Parti Pekerja Kurdistan), yang telah melakukan pemberontakan sejak 1984 dan dianggap sebagai kumpulan pengganas oleh Turkiye, Kesatuan Eropah, UK dan Amerika Syarikat.

Awal bulan ini, PKK mengumumkan mereka akan meletakkan senjata, selepas pemimpinnya yang dipenjarakan mengadakan rundingan dengan pegawai Turkiye.

Sementara itu, mata wang Turkiye, lira jatuh ke paras terendah dalam sejarah berbanding dolar AS, mencerminkan ketidakstabilan politik yang semakin meningkat.

Walaupun penahanan Imamoglu mengejutkan banyak pihak, tekanan undang-undang terhadapnya bukan perkara baharu.

Pada Disember 2022, beliau telah dilarang daripada menyertai politik atas dakwaan menghina Lembaga Pilihan Raya Turkiye pada 2019 – keputusan yang masih dalam proses rayuan.

Terbaharu, pada 20 Januari lalu, kes difailkan terhadapnya atas kritikan beliau terhadap seorang pendakwa raya. - Agensi