ISTANBUL: Tiga orang yang cedera parah dalam kebakaran di sebuah kelab malam di bandar Kocani di Macedonia Utara diterbangkan ke Turkiye pada Ahad dengan pesawat ambulans yang dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan Turkiye.

Menurut Anadolu Ajansi (AA), pesawat itu mendarat di Lapangan Terbang Sabiha Gokcen di Istanbul, apabila mereka dipindahkan ke pusat rawatan kebakaran di Basaksehir Cam and Sakura City Hospital untuk rawatan.

Kebakaran itu yang berlaku lewat Sabtu malam, mengorbankan 59 orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 155 yang lain, menurut laporan tempatan.

Kerajaan Macedonia Utara mengisytiharkan tempoh berkabung negara selama tujuh hari bermula Isnin.

Sebagai tindak balas kepada permintaan segera daripada pihak berkuasa Macedonia Utara, Turkiye menghantar dua pesawat pemindahan perubatan.

Penerbangan pertama membawa tiga orang yang cedera ke Istanbul, manakala pesawat kedua, yang dikendalikan oleh Kementerian Pertahanan Turkiye, membawa enam lagi mangsa ke Ankara Bilkent City Hospital untuk rawatan khusus.

Menteri Kesihatan Turkiye Kemal Memisoglu mengucapkan takziah dan mengulangi komitmen Turkiye untuk membantu Macedonia Utara, menegaskan yang negara itu bersedia untuk memberikan bantuan perubatan selanjutnya jika diperlukan.

-- BERNAMA