SUNGAI PETANI: Seorang pelajar perempuan berusia 19 tahun cedera parah akibat ditikam rakan lelaki dalam kejadian di sebuah kampus institut pengajian tinggi (IPT) dekat sini, pagi tadi.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi tadi, mangsa dalam perjalanan ke perpustakaan bersama rakan-rakannya sebelum ditikam suspek sehingga menyebabkan kecederaan pada bahagian belakang badannya.

Suspek berusia 19 tahun turut mengalami kecederaan pada tangan disyaki akibat pergelutan dengan mangsa.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Wan Azharuddin Wan Ismail ketika dihubungi Bernama malam ini mengesahkan penahanan suspek.

"Susulan laporan kejadian dibuat pihak keselamatan universiti berkenaan pagi tadi, kita berjaya menahan suspek semasa dia mendapatkan rawatan di klinik kampus.

"Mangsa pula dilaporkan dalam keadaan sedar dan stabil dan masih dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH)," katanya.

Katanya lagi kes disiasat mengikut Seksyen 324/326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya.

-- BERNAMA