Ringkasan AI
- Pelaburan Awal RM50: Satu juta pelajar IPT akan menerima pelaburan awal percuma sebanyak RM50 melalui program Celik MADANI.
- Pelaburan ini dibiayai oleh Kerajaan dan PNB dengan jumlah keseluruhan RM50 juta untuk tempoh lima tahun.
- Pelaburan dikreditkan ke dalam akaun ASB atau ASM pelajar dan dikunci selama lima tahun.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pelaburan awal sebanyak RM50 unit amanah ini dibiayai melalui sumbangan bersama antara Kerajaan dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang berjumlah RM50 juta untuk pengagihan sepanjang tempoh lima tahun.
Menurutnya, jumlah pelaburan yang dikreditkan ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau Amanah Saham Malaysia (ASM) pelajar terbabit dan dikunci selama lima tahun.
“Mahasiswa baharu akan diberi sumbangan dana pelaburan awal sebanyak RM50 yang dikunci selama lima tahun.
“Jika diandaikan pulangan dividen sepanjang tempoh itu adalah sebanyak 5.5 peratus setahun, dan pelajar membuat simpanan tambahan RM20 sebulan selama 4 tahun, diikuti dengan simpanan RM100 sebulan ketika mula bekerja selama enam tahun...
“...mereka dijangka mampu mempunyai simpanan terkumpul melebihi RM10,000 dalam tempoh 10 tahun, jika tiada pengeluaran dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan di Majlis Penyerahan Memorandum Perjanjian Program Celik MADANI di Menara Merdeka 118, di sini hari ini.
Fasa pertama program ini akan melibatkan pelajar semester pertama Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Manakala empat Universiti Berkaitan Kerajaan (GLU) yang terpilih untuk program ini adalah Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), dan Universiti Multimedia.
Fasa kedua program Celik MADANI yang melibatkan institusi pengajian swasta dan vokasional terpilih juga akan dilaksanakan.
Celik MADANI: Celik Kewangan Belia MADANI, program lima tahun yang akan dilaksanakan bermula 1 Mac 2025 hingga 28 Februari 2030, kali pertama diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) pada 22 Ogos 2024.
Program yang diuruskan oleh syarikat pengurusan unit amanah milik penuh PNB, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) ini menyasarkan untuk memberi manfaat kepada kira-kira 200,000 pelajar setiap tahun bagi tempoh sepanjang lima tahun akan datang.
