KUALA LUMPUR: Malaysia dan Turkiye perlu mengembangkan kerjasama dalam industri ketenteraan dan persenjataan. 


Ringkasan AI
  • Kerjasama Ketenteraan Malaysia-Turkiye: Malaysia dan Turkiye perlu mengembangkan kerjasama dalam industri ketenteraan dan persenjataan.
  • Perbezaan Pembelian Persenjataan: Membeli persenjataan daripada Turkiye dianggap lebih dipercayai dan memberi peluang pekerjaan kepada bakat tempatan.
  • Prestasi Teknologi Ketenteraan Turkiye: Teknologi ketenteraan Turkiye terbukti berprestasi baik melalui pengalaman Azerbaijan dalam perang Nagorno-Karabakh.


Pensyarah Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim (AIKOL) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohd Iqbal Abdul Wahab berkata, Malaysia tidak perlu ragu-ragu untuk meneroka industri berkenaan memandangkan Turkiye sudah menunjukkan kesediaan untuk membuka peluang dan mempunyai kepakaran yang diiktiraf dunia.

“Kita sudah memeterai banyak perjanjian membeli persenjataan dan kapal perang Turkiye. Saya harap kita boleh teruskan dengan industri-industri yang lebih berat, umpamanya perkapalan, anti-kereta kebal dan kereta kebal. 

“Saya tekankan hal ini kerana kita boleh masih boleh beli pesawat pejuang daripada Amerika Syarikat, tetapi beli daripada Amerika Syarikat dan Turkiye adalah berbeza. 

“Dalam konteks sekarang, apabila kita beli daripada Turkiye, umpama beli daripada kawan baik yang lebih dipercayai berbanding beli di pasaran terbuka. Sudah tentu ada perbezaan. Bahkan, Turkiye tawarkan peluang pekerjaan kepada bakat tempatan dalam bidang kepakaran tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.

Agenda AWANI: Turkiye sebagai rakan dialog ASEAN


Menurut Mohd Iqbal, teknologi ketenteraan Turkiye telah terbukti mempunyai prestasi yang baik melalui pengalaman Azerbaijan yang menggunakan dron ketenteraan dalam perang Nagorno-Karabakh.

Pada masa sama, beliau sifatkan lawatan Presiden Turkiye, Reccep Tayyib Erdogan sebagai sangat bermakna memandangkan ia membawa mesej yang jelas ke arah tindakan usaha sama, bukan lagi rundingan dua hala semata-mata.

Erdogan mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia yang berakhir pada Selasa.