KUALA LUMPUR: Takrifan ‘berjaya’ dalam kalangan Bumiputera perlu ditakrifkan semula dengan memecahkan stigma bahawa kejayaan itu terbatas kepada menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) semata-mata.

Menurut CEO Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju), Ibrahim Sani, hal ini akan ditegaskan melalui penumpuan semula hala tuju tiga agensi di bawah Kementerian Ekonomi pada 20 Mei ini.

“...mentakrifkan semula maksud ‘kejayaan’ kerana ramai dalam kalangan Bumiputera yang masih membataskan cita-cita kepada menjadi seorang Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat atau bekerja disebuah syarikat untuk 30 hingga 40 tahun.

“Walaupun cita-cita itu mulia, apa yang diperlukan ketika ini adalah lebih daripada itu. Hasrat Kementerian Ekonomi adalah untuk pastikan bakat-bakat Bumiputera ini boleh menjayakan sesuatu perniagaan atau memulakan inisiatif perusahaan sosial lebih daripada sekadar makan gaji,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.


Bumiputera berjaya bukan lagi terbatas kepada menjadi CEO - Yayasan Peneraju

Menurut Ibrahim, salah satu langkah kerajaan dalam memberi definisi baharu kepada ‘berjaya’ bagi Bumiputera ini, tiga agensi di bawah Kementerian Ekonomi yang mempunyai kumpulan sasaran yang sama akan melalui proses penyusunan semula.

Antara lain, tindakan tersebut adalah untuk memastikan tidak lagi berlaku pertindihan fungsi antara tiga agensi berkenaan dan program pembangunan bakat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Pada 20 Mei ini, kita akan susun tiga agensi yang ada mandat Bumiputera di bawah Kementerian Ekonomi iaitu Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), dan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas). Kita akan ceritakan kepada awam peranan, matlamat dan tawaran kepada orang awam,” katanya lagi.


Agenda AWANI: Mentakrifkan semula kejayaan