KUALA LUMPUR: Institusi Pendidikan MARA (IPMa) mampu menyediakan ekosistem pembelajaran yang komprehensif dalam Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kata pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.


Ringkasan AI
  • Institusi Pendidikan MARA (IPMa) menawarkan ekosistem pembelajaran TVET yang meluas dan berkualiti tinggi sesuai dengan kehendak industri semasa.
  • TVET di bawah MARA membantu mengatasi masalah ketidakpadanan pekerjaan dan memastikan graduan berkemahiran tinggi, selari dengan Dasar TVET Negara yang disokong oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
  • Kerajaan memperkukuh ekosistem TVET dengan tambahan RM200 juta, memanfaatkan sekitar 13,000 pelajar, serta peluang untuk pelajar tempatan menyambung pelajaran dalam negara dan luar negara melalui laluan akademik dan profesional.


Dengan 270 institusi TVET di bawah MARA, Asyraf berkata, bidang kemahiran yang diliputi bukan sahaja cukup meluas, malah ia turut mencakupi bidang yang berkemahiran tinggi, dan amat menepati kehendak industri pada masa kini.

Katanya lagi, ia juga sejajar dengan Dasar TVET Negara yang mahu mengurangkan ketidakpadanan graduan dengan kehendak pasaran, dan memastikan pembangunan modal insan berkemahiran seperti mana yang sering ditekankan Pengerusi TVET Malaysia, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Semua negara maju akan bergantung kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK), dan memerlukan 60 – 70 peratus tenaga mahir. Jadi tenaga kerja mahir ini terkait TVET, melibatkan special skills atau kemahiran tertentu yang diperlukan dalam industri tertentu.

“Kita lihat isu utama masalah pelajar iaitu underemployment, tetapi bukan sekadar unemployment, (pengangguran) maknanya graduan universiti tak dapat kerja satu hal, tetapi dia tak dapat bekerja dalam bidang yang dia pelajari. Kenapa? Kerana industri hari ini tak mahu lihat pelajar 'degree general'.

BACA: Seluas-luas ekosistem TVET, masih dianggap pilihan kedua? 

“Betul cemerlang dalam kejuruteraan contohnya. Tetapi adakah ia spesifik dan berkualiti? Ini berbeza dengan TVET. Sebab itu kalau ikut Datuk Seri Zahid sebagai pengerusi Majlis TVET, kita tak mahu lagi TVET menjadi pilihan kedua. Inilah yang kita harus beri kesedaran kepada ibu bapa di luar sana,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian sewaktu bersiaran secara langsung dalam Agenda AWANI – Institusi Pendidikan Mara (IPMa) Mencipta Masa Depan, pada Selasa.

Agenda AWANI: Institusi pendidikan MARA (IPMA) mencipta masa depan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengumumkan usaha Kerajaan memperkukuh ekosistem TVET dengan pembiayaan tambahan RM200 juta bagi program berkaitan, yang akan dapat dimanfaatkan oleh kira-kira 13,000 orang pelajar.

Beliau berkata, pembiayaan dalam bidang-bidang ini akan menggalakkan institusi TVET membangunkan program-program latihan selari dengan hasrat Kerajaan untuk memantapkan sektor dan industri dengan pertumbuhan dan nilai tinggi (HGHV), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP).

Ahmad Zahid sebelum ini dilaporkan sebagai berkata, TVET tidak seharusnya lagi dilihat sebagai pilihan kedua untuk pelajaran peringkat lebih tinggi.

Keberhasilan yang dapat disaksikan melalui Majlis TVET Negara, katanya lagi, ialah mentransformasi bidang tersebut ke arah melahirkan tenaga mahir warga tempatan, bagi memenuhi keperluan industri negara.

Dalam pada itu Asyraf berkata, program TVET melalui IPMa, daripada peringkat rendah seperti Pusat Giat Mara, sehinggalah ke tahap lebih tinggi seperti Kolej Kemahiran Tinggi Mara dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) direka mengikut kehendak spesifik industri berkaitan,

“Institusi kita bekerja rapat, dan beroperasi rapat dengan industri. Pihak pentauliahan professional, yang akan memberi sijil profesional, contohnya program di UPTM. Ramai di luar sana tak menyedari kelebihan yang ada pada UPTM, program kita contohnya perakuanan, memberikan laluan laluan profesional untuk sijil ACCA dan MICPA.

“Bagi mereka yang ada diploma, akan dapat pindahkan kredit semaksima mungkin, untuk mendapat ijazah dalam tempoh singkat. Cuma paling penting, ada kerjasama akrab dengan pihak CIMA, pentauliahan penting, dan program yang diiktiraf dan selari dengan peredaran zaman,” jelasnya.

Biarpun MARA masih mengekalkan komitmennya untuk menyediakan laluan akademik profesional bagi pelajar tempatan ke luar negara, Asyraf berkata, peluang menyambung pelajaran di dalam negara juga sangat luas, khususnya dalam TVET.

Justeru beliau berkata, pelajar yang tercicir dalam akademik di peringkat sekolah menengah, atau golongan pekerja yang ingin menambahbaik kemahiran (upskilling – reskilling) digesa untuk merebut peluang yang MARA tawarkan.