KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mewajibkan penyediaan maklumat pelan utiliti lebih lengkap untuk tujuan pembangunan. 


Ringkasan AI
  • Keperluan Maklumat Utiliti Lengkap: Kerajaan perlu mewajibkan penyediaan maklumat pelan utiliti yang lebih lengkap, termasuk kedudukan infrastruktur utiliti pada semua kedalaman sehingga lapan meter.
  • Cabaran Peralatan Pengukuran: Peralatan seperti Ground Penetrating Radar dan Electromagnetic Locator yang digunakan sekarang hanya mampu menembusi tanah sejauh tiga meter, bergantung kepada kondisi tanah.
  • Kerjasama Pemetaan Utiliti: Menteri Komunikasi dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mencadangkan kerjasama antara DBKL, agensi terlibat, dan syarikat utiliti untuk membuat pemetaan utiliti bawah tanah.


Profesor Madya Fakulti Alam Bina dan Ukur Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Zulkarnaini Mat Amin berkata maklumat tersebut termasuklah informasi kedudukan infrastruktur utiliti yang berada pada semua kedalaman. 

“Maklumat-maklumat yang ada dalam pelan utiliti sebenarnya hanya melibatkan utiliti yang berada pada kedalaman tiga meter. Bagi maklumat-maklumat utiliti lebih dalam seperti pembetung yang dimiliki oleh Indah Water Konsortium (IWK) kebiasaannya tidak dimasukkan dalam pelan utiliti. 

“Mungkin menjadi kewajipan kepada agensi-agensi kerajaan bertanggungjawab untuk sediakan satu lagi garis panduan yang menetapkan setiap skop kerja perlu memasukkan maklumat-maklumat utiliti sehingga lapan meter atau kedalaman maksimum yang digunakan oleh penyedia utiliti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.


Wajibkan penyediaan maklumat pelan utiliti lebih lengkap, faham risiko guna tanah - Pakar

Pada masa sama, Zulkarnaini berkata terdapat cabaran lain untuk mengukur keadaan tanah dengan menggunakan peralatan yang digunakan oleh industri dalam negara.

“...Peralatan yang digunapakai ketika ini iaitu Ground Penetrating Radar dan Electromagnetic Locator. Kekangan bagi peralatan ini ialah ia hanya mampu menembusi tanah sejauh tiga meter sahaja, bergantung kepada kondisi tanah sama ada kering atau lembap. Ia juga bergantung kepada skop kerja yang diberikan oleh kontraktor,” jelasnya.

Dalam kejadian pada pagi Jumaat lalu, mangsa dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang dipercayai terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India.

Pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR), pihak berkuasa memaklumkan teknik ‘flushing’ digunakan untuk mencari mangsa.

Bagaimanapun, setakat ini mangsa masih belum ditemui selepas lebih 72 jam operasi SAR.

Pada Sabtu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil  mencadangkan agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), agensi terlibat serta syarikat utiliti disaran bekerjasama dalam membuat pemetaan utiliti bawah tanah, bagi mengelakkan insiden tidak diingini berlaku terutama ketika pembangunan sesuatu projek.

Tambahnya pemetaan utiliti itu penting, bagi melihat keadaan di bawah tanah dengan kebanyakannya mempunyai saluran perpaipan dan kabel elektrik, yang ada kalanya tidak dipetakan pihak utiliti.

Saranan tersebut disambut oleh Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming yang memberi komitmen akan meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), agensi terlibat serta syarikat utiliti bekerjasama melaksanakan pemetaan utiliti bawah tanah, dalam mesyuarat kementeriannya pada minggu ini.

Nga berkata Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sentiasa bersikap terbuka dan sedia bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kerja Raya dan pelbagai agensi terlibat supaya mempunyai pemetaan utiliti atau kemudahan di bawah tanah.


Agenda AWANI: Tanah Jerlus: Kuala Lumpur selamat