Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif, pengambilalihan ini bertujuan untuk memastikan kadar sewaan yang lebih berpatutan bagi peniaga serta meningkatkan tahap pengurusan bazar agar lebih sistematik, bersih dan teratur.
"Sebanyak 40 lokasi bazar Ramadan dan dua lokasi bazar Aidilfitri telah ditetapkan, melibatkan lebih 3,567 tapak di seluruh Kuala Lumpur.
"DBKL dengan kerjasama Bank Muamalat Malaysia Berhad juga akan menyediakan kanopi standard bersaiz 8x8 kaki, yang dijangka siap dipasang menjelang 28 Februari 2025.
"Dalam usaha memastikan kelancaran operasi bazar, seramai 613 petugas DBKL dari pelbagai jabatan akan ditempatkan bagi menjalankan pemantauan dan kawalan termasuk Pasukan RELA turut dikerahkan untuk membantu dalam aspek keselamatan dan pengurusan trafik di lokasi bazar," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.
Maimunah berkata, bagi memastikan pengurusan bazar berjalan dengan lebih sistematik, DBKL turut menerapkan konsep RACI dalam pentadbiran bazar tahun ini.
"Pegawai atasan bertanggungjawab dalam membuat keputusan utama, manakala petugas DBKL akan mengawal selia tapak bazar, lesen serta kebersihan.
"Selain itu, pihak berkepentingan seperti jabatan kesihatan dan keselamatan akan dirujuk dalam pengurusan bazar bagi memastikan aspek kesihatan awam serta keselamatan dipatuhi.
"Peniaga dan pihak berkepentingan lain turut akan diberikan maklumat berkaitan operasi bazar agar semua pihak jelas dengan tanggungjawab masing-masing," ujarnya.
Maimunah turut menyeru semua pihak, terutamanya para peniaga, agar mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi menjamin kelancaran operasi bazar sepanjang Ramadan dan Aidilfitri.
Katanya lagi, DBKL akan terus memantau serta menambah baik sistem pengurusan supaya bazar tahun ini lebih tersusun, bersih dan memberikan pengalaman terbaik kepada warga kota.
"Dengan langkah-langkah baharu ini, diharapkan Bazar Ramadan dan Aidilfitri 2025 bukan sahaja berjalan dengan lancar, malah dapat menyokong pertumbuhan ekonomi peniaga kecil serta meningkatkan kesejahteraan komuniti di Kuala Lumpur," katanya.
