PENERBIT, pengarah dan pelakon, Datuk Afdlin Shauki menzahirkan rasa syukur selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tiada elemen jenayah atas dakwaan salah laku perolehan projek bernilai RM4 juta di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dikaitkan dengan beliau sebelum ini.


Ringkasan AI
  • Datuk Afdlin Shauki bersyukur selepas SPRM mengesahkan tiada elemen jenayah dalam dakwaan salah laku perolehan projek RM4 juta di bawah DBKL yang dikaitkan dengannya.
  • Afdlin memilih untuk tidak mengulas panjang mengenai dakwaan tersebut dan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
  • Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan tiada elemen jenayah ditemui selepas semakan dokumen oleh DBKL berhubung projek penerbitan kandungan dan siaran studio serta konti radio DBKL.


Menurut Afdlin, 53, sejak awal lagi, beliau memilih untuk tidak mengulas panjang mengenai dakwaan tersebut kerana enggan memberi ruang kepada pihak lain untuk memanjangkan fitnah.

“Segala puji untuk ALLAH SWT yang telah menegakkan keadilan. Cakap banyak tidak guna sebab kalau orang tidak suka kita, dia akan terus panjangkan fitnah ini.

"Atas sebab itu saya mengambil keputusan untuk duduk diam dan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa agar tidak mengganggu siasatan," ujarnya menerusi kenyataan di akaun media sosialnya.

Tambah Afdlin, sejak awal lagi beliau tidak melatah kerana yakin berada di pihak yang benar.

Bukan itu sahaja, dalam menghadapi ujian ini, beliau berpeluang mengenali sahabat sejati.

"Terima kasih kepada isteri saya, anak-anak saya, keluarga saya dan semua rakan yang memberi sokongan moral kepada saya pada ketika saya dalam kesusahan.

"Saya tidak melatah kerana yakin saya tidak melakukan apa-apa kesalahan, tetapi tidak guna saya yang cakap. Biarlah pihak berkuasa yang menentukan.

"Cuma hari ini saya kenal siapa sahabat saya dan siapa bukan," ujarnya.

Dalam masa sama, pengarah Baik Punya Cilok itu berterima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberi sokongan kepadanya termasuk pihak berkuasa kerana menjalankan siasatan terperinci sehingga namanya tidak lagi terpalit dengan isu tersebut.

Afdlin juga sempat memulangkan paku buah keras kepada pemfitnah yang melemparkan tuduhan tidak berasaskan itu.

"Kepada yang memanjangkan fitnah ini saya berdoa yang baik-baik untuk anda semua agar ALLAH SWT memaafkan kita semua.

“Saya doakan ALLAH lembutkan hati pemfitnah itu,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memberitahu tiada elemen jenayah didapati berlaku berhubung dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat DBKL yang dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta.

Azam berkata, perkara itu adalah hasil semakan pihaknya terhadap dokumen yang dibekalkan oleh DBKL pada 7 Februari lalu berhubung pelaksanaan projek penerbitan kandungan dan siaran studio serta konti radio DBKL. -- Sinar Harian