Sebagai salah satu inisiatif pemasaran terbaharu, Astro Shaw memperkenalkan multi-programatik treler yang direka khusus mengikut tema tertentu.
Pendekatan inovatif ini melibatkan penghasilan beberapa treler dengan genre berbeza dari filem yang sama.
Strategi ini akan dimulakan dengan filem terbaru Astro Shaw, Baik Punya Ah Long.
Dengan melancarkan beberapa treler mengikut kesesuaian musim tayangan, Astro Shaw memfokuskan kepada golongan penonton yang lebih meluas. Usaha ini selaras dengan trend di mana platform menyajikan kandungan mengikut citarasa penonton sasaran.
‘Baik Punya Ah Long menjadi filem pertama di Malaysia yang menampilkan beberapa treler berbeza untuk ditayangkan di pawagam. Selain treler rasmi, terdapat dua lagi treler khas iaitu treler yang berkonsepkan aksi komedi dan treler bertemakan muzikal.
Mengikut Penerbit Eksekutif Baik Punya Ah Long merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “tidak hanya memberi tumpuan pada penghasilan karya berkualiti, Astro Shaw juga turut memfokuskan pada strategi pemasaran bagi memastikan filem tersebut dapat dihebahkan secara menyeluruh.
"Dengan memperkenalkan multi-programatik treler ini, ia memberikan lebih ruang fleksibiliti dalam kempen pemasaran kami dengan menyesuaikan kandungan filem Baik Punya Ah Long kepada segmen penonton tertentu, sekali gus dapat menarik pelbagai demografi penonton.
*Kami percaya dengan melancarkan dua treler tambahan tersebut, ia dapat menonjolkan aspek berbeza filem ini seperti komedi, aksi, atau elemen muzikal, dan penonton diberikan lebih banyak sebab untuk teruja dengan filem Baik Punya Ah Long.
Langkah berani ini adalah bukti usaha kami untuk terus mendekatkan karya tempatan kepada masyarakat dengan cara yang lebih segar dan relevan.”
Trailer yang direka khas ini akan disusun secara strategik mengikut pelbagai genre filem yang sedang ditayangkan di pawagam.
Dari filem aksi yang mendebarkan hingga komedi ringan dan persembahan muzikal yang menghiburkan, trailer ini akan memastikan pendedahan maksimum kepada penonton sasaran dan diharapkan dapat menarik minat mereka menyaksikan Baik Punya Ah Long yang ditayangkan mulai 12 September nanti.
Dengan strategi pemasaran yang inovatif ini, Astro Shaw bersedia untuk memberikan impak yang signifikan dalam industri filem tempatan dan menetapkan piawaian baru untuk tayangan pawagam.
Baik Punya Ah Long merupakan filem arahan Datuk Afdlin Shauki dan membariskan pelakon Zizan Razak, Johan, Adlin Aman Ramlie, Liyana Jasymay, Mia Shauki dan ramai lagi.
Filem komedi muzikal ini mengisahkan tentang dua beradik yang mahu memulakan perniagaan walaupun mereka tidak pandai dan mempunyai pengalaman dalam bidang tersebut.
Perniagaan yang mereka jalankan adalah meminjam wang.
Namun, perniagaan mereka tidak disenangi oleh ‘Ah Long’ yang lain.