KUALA LUMPUR: Astro Shaw dan Etika mempersembahkan filem Abah Saya, Uncle Mike yang mengisahkan lelaki berbangsa Cina, Michael Tong Wai Siong, atau lebih dikenali sebagai Uncle Mike membesarkan tiga anak angkat beragama Islam.

Menurut Penerbit Eksekutif Filem 'Abah saya, Uncle Mike' merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, pihaknya bersama rakan kerjasama strategik Etika percaya elemen perpaduan  dan kepelbagaian budaya dalam filem ini menceritakan keunikan sebenar Malaysia.

"Itulah sesuatu yang Astro Shaw sangat utamakan, iaitu nilai-nilai harmoni, perpaduan, dan budaya. Nilai-nilai ini dapat dilihat dalam filem-filem kami seperti Ola Bola dan About The Journey. Malah, untuk filem aksi seperti Polis Evo, kami memastikan kerjasama dengan pelakon, pengarah, dan profesional kreatif dari pelbagai budaya dan kaum.

"Ini adalah komitmen kami terhadap perpaduan, untuk memastikan kami menghasilkan cerita yang benar-benar menggambarkan semangat rakyat Malaysia daripada rakyat Malaysia," katanya.

Tambah Raja Jastina, filem 'Abah saya, Uncle Mike' memulakan sesi penggambaran pada Januari dan mensasarkan tayangan pawagam pada tahun ini.

Mengulas lanjut lagi, selaras dengan mesej dan tema perpaduan, ia memberi peluang kepada Astro Shaw dan Etika untuk mempersembahkan programatik treler edisi perayaan dengan dimulakan penghasilan video teaser penjenamaan Raya Tahun Baru Cina, ‘Cat Hei Lam Mun’, yang menggabungkan elemen perayaan lunar dan intipati jenama 7UP.

Fasa seterusnya akan menampilkan treler bertemakan Hari Raya, meneruskan sambutan kepelbagaian dan kebersamaan.

Treler filem 'Abah saya, Uncle Mike' edisi Tahun Baharu Cina kini boleh ditonton di saluran YouTube Astro Shaw dan Etika bermula 7 Januari 2025.

Filem 'Abah saya, Uncle Mike' yang bakal ditayangkan di pawagam pada tahun ini mengisahkan perjalanan Rafei yang merupakan anak sulung daripada tiga adik-beradik yatim piatu mengimpikan masa depan yang lebih cerah.

Selepas menemui kasih sayang dalam keluarga Uncle Mike, dia berusaha untuk bersatu semula dengan dua adik lelakinya.