BUTTERWORTH: Dua lelaki warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperdagangkan senjata api, bulan lepas.

Zulkarnaini A. Rahman, 44, dan Husaini, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan dalam bahasa Indonesia oleh jurubahasa.

Kedua-dua lelaki itu didakwa secara bersama-sama memperdagangkan empat pucuk pistol dan selaras senapang M4 di Perairan Laut Perai, Daerah Seberang Perai Tengah pada 3.10 petang, 27 Jan.

Pertuduhan mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan disebat tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, Zulkarnaini turut mengaku tidak bersalah memiliki sepucuk pistol di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebat minimum enam kali, jika sabit kesalahan.

Hakim Nor Azah Kasran menetapkan 14 April untuk sebutan semula bagi serahan dokumen.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Nadia Jamal, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Nur Ashiqeen Mohd Sultan.

Sebelum ini, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad dilaporkan berkata Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Batu Uban menahan empat lelaki termasuk dua warga Indonesia serta merampas lima pucuk pistol, selaras senapang M4 dan 801 butir peluru, dalam sebuah bot di kawasan perairan Perai di 1 batu nautika dari Barat Daya Sungai Perai, pada 27 Jan.

Hamzah berkata empat individu yang bekerja sebagai nelayan itu merupakan ahli sindiket penyeludupan senjata api antarabangsa, serta dipercayai ini kali pertama mereka menjalankan kegiatan jual beli senjata api tersebut di negara ini.

-- BERNAMA