Suria Prekash Sooriya Moorthy, 22, telah dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi atas kesalahan itu yang dilakukan di ladang Majlis Belia Daerah Batu 5 Endau di Daerah Mersing, Johor, pada 2 petang, 19 Ogos 2021.
Bagaimanapun, hari ini panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan pembebasan Suria Prekash serta mengembalikan keputusan Mahkamah Majistret.
Hakim Che Mohd Ruzima berkata pengecaman Suria Prekash oleh seorang saksi pendakwaan sebagai individu yang mencuri buah kelapa sawit disokong oleh keterangan seorang lagi saksi. Beliau berkata pengecaman itu kukuh dan mencukupi untuk mengatasi alibi Suria Prekash.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menerima alibi Suria Prekash, yang mendakwa bahawa beliau berada di rumah sedang makan tengah hari pada masa jenayah itu dan bukan berada di ladang tersebut.
Pada 20 Sept 2023, Mahkamah Majistret mensabitkan Suria Prekash atas kesalahan mencuri buah kelapa sawit namun Mahkamah Tinggi membebaskannya dengan bon dua tahun berkelakuan baik berjumlah RM2,000 dengan seorang penjamin pada Mac tahun lepas.
Keputusan itu mendorong pihak pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap pembebasan itu.
Menurut fakta kes, seorang pekerja warga Indonesia melihat Suria Prekash bersama seorang lagi individu, A. Rajendren menceroboh ladang itu dengan menaiki sebuah lori.
Pekerja berkenaan memaklumkan hal itu kepada majikannya yang kemudian menemui kedua-dua lelaki tersebut di dalam lori yang telah diisi buah kelapa sawit.
Rajendren, 47, yang merupakan bapa saudara Suria Prekash, didakwa mempunyai kaitan dengan kecurian itu telah mengaku bersalah dan didenda RM3,000.
Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Zander Lim bertindak bagi pihak pendakwaan manakala Suria Prekash diwakili peguam G.K. Sritharan, Tan Meng Khong dan P. Rajagunaseelan.
-- BERNAMA