PUTRAJAYA: Malaysia kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan rakan antarabangsa bagi memastikan hasil manfaat bersama dalam menangani perubahan iklim dan penyahhutanan, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada pengumuman Suruhanjaya Eropah baru-baru ini bahawa kesatuan itu tidak akan menangguhkan pelaksanaan Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR), yang dijadualkan berkuat kuasa pada 30 Dis, 2024.

"Malaysia juga komited terhadap matlamat kemampanan global utama seperti mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus litupan hutan, mencapai pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050, mengurangkan intensiti karbon berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 45 peratus pada 2030 dan mengurangkan pelepasan metana global sebanyak 30 peratus menjelang 2030, antara lain," katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata sektor minyak sawit Malaysia telah menerima guna piawaian kemampanan yang ketat melalui skim pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

"Usaha ini bukan sahaja menunjukkan komitmen Malaysia terhadap ketelusan dan kebolehkesanan merentas rantaian bekalan malah juga untuk memastikan industri bersedia sepenuhnya untuk peraturan itu," katanya.

Johari berkata empat bidang utama yang penting untuk memastikan kemampanan produk minyak sawit Malaysia iaitu kebolehkesanan, amalan bebas penyahhutanan, pemilikan tanah yang sah serta pematuhan kepada amalan buruh yang baik sejajar dengan piawaian Pertubuhan Buruh Antarabangsa.

Beliau berkata 73 peratus daripada 5.7 juta hektar ladang kelapa sawit Malaysia diuruskan oleh syarikat besar, yang kebanyakannya mempunyai kepakaran dan sumber untuk memenuhi peraturan eksport untuk pasaran Eropah.

Bagaimanapun, beliau mengakui baki 27 peratus ladang kelapa sawit, yang diuruskan oleh kira-kira 450,000 pekebun kecil, menghadapi cabaran tersendiri dalam menyesuaikan dengan keperluan kawal selia yang semakin berubah.

"Kerajaan, melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi, sedang giat melakukan pembangunan kapasiti untuk menyokong peralihan mereka ke arah pematuhan EUDR.

"Ini penting untuk memastikan mata pencarian kalangan pekebun kecil ini tidak terjejas dengan pelaksanaan peraturan itu," kata Johari.

-- BERNAMA