PUTRAJAYA: Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mendapat keizinan daripada pihak Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa dua individu berkaitan dua projek lebuh raya di Lembah Klang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, dua individu berkenaan ialah bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) syarikat tersebut, yang akan didakwa pada 27 Januari depan, manakala seorang lagi ialah Pengurus Projek syarikat swasta pada 23 Januari depan.

Beliau berkata, dua projek tersebut ialah Projek Penswastaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) pakej CA3 bernilai RM1.05 bilion, dan Projek Lebuhraya Bertingkat Damansara Shah Alam (DASH) bernilai RM4.8 bilion.

“Status terkini, SPRM telah mendapat izin untuk dakwa atau consent to prosecute, membabitkan COO syarikat konsesi itu dan dengan dua pertuduhan di bawah seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

“Dan seorang pengurus projek syarikat swasta, telah dikeluarkan pada 23 Januari 2025, dengan tiga pertuduhan di bawah akta seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009,” katanya kepada sidang media khas di Putrajaya, pada Khamis.

Pada Ogos tahun lepas, Azam Baki berkata, SPRM telah membuka kertas siasatan terhadap pengurusan tertinggi syarikat konsesi lebuh raya yang sebelum ini ditahan kerana disyaki meminta serta menerima rasuah pembinaan dua projek lebuh raya di Lembah Klang bernilai lebih RM1.6 bilion.

Beliau pada ketika itu berkata, 11 individu sudah ditahan termasuk ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat terbabit dengan 11 kertas siasatan sudah dibuka.