Ringkasan AI
- Kuasa kepada Wakil Rakyat: Pindaan ini membolehkan wakil rakyat menerima maklumat daripada pemberi maklumat, menjadikan mereka lebih selesa dan yakin untuk mendedahkan salah laku.
- Penambahan Agensi Penerima Maklumat: Cadangan untuk menambah agensi-agensi yang boleh menerima maklumat, bukan hanya pihak penguat kuasa undang-undang, termasuk mewujudkan agensi khusus atau berpusat untuk menerima aduan.
- Perlindungan dan Keberkesanan: Memperkukuh perlindungan kepada pemberi maklumat dan memastikan aduan disiasat dengan baik tanpa tindakan memudaratkan terhadap pengadu.
Peguam dan pengasas Center to Combat Corruption and Cronyism (C4), Cynthia Gabriel berkata, ini bagi memastikan pemberi maklumat lebih selesa dan yakin bagi mendedahkan sebarang salah laku.
“Perlu tambah agensi-agensi yang boleh terima maklumat (salah laku) ini, bukan sahaja pihak penguat kuasa undang-undang. Seseorang mungkin boleh mengadu kepada wakil rakyat di kawasan sendiri.
“Peruntukan undang-undang yang ada sekarang adalah, sekiranya seseorang bawa aduan itu kepada orang lain selain daripada pihak berkuasa, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat tidak lagi terpakai kepada pengadu itu.
“Ini menjadikan seseorang tidak yakin untuk mengadu kepada pihak berkuasa sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Tambah Cynthia, mewujudkan sebuah agensi khusus untuk menerima aduan daripada pemberi maklumat juga wajar dipertimbangkan.
Menurut beliau, adalah tidak munasabah bagi seseorang untuk melaporkan salah laku polis kepada pihak polis atau salah laku anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada badan itu sendiri.
"Kita nyatakan dengan jelas mengenai keperluan untuk mewujudkan agensi tambahan atau agensi berpusat. Kita perlu fikirkan kaedah untuk pastikan aduan boleh diterima, disiasat dengan baik dan tidak sebarang tindakan dikenakan kepada pengadu. Ini sangat penting untuk menyelesaikan masalah rasuah dalam negara,” ujarnya.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri sedang menerajui usaha pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 [Akta 711] bagi memperkukuh perlindungan kepada pemberi maklumat serta meningkatkan keberkesanan penyaluran maklumat.
BHEUU menerusi satu kenyataan pada Selasa memaklumkan penggubalan Akta 711, bertujuan memerangi rasuah dan salah laku lain dengan menggalakkan serta memudahkan pemberi maklumat membuat pendedahan kelakuan tidak wajar, melindungi orang yang membuat pendedahan daripada tindakan memudaratkan dan memastikan pendedahan itu disiasat sewajarnya.
Agenda AWANI: Pindaan Akta perlindungan Pemberi Maklumat 2010
