SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan Azmi, 57, yang pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Perisikan akan menggantikan Datuk Seri Norazlan Mohd Razali yang bersara wajib pada 17 Nov 2024.
"Beliau yang berkelulusan Diploma Pengajian Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM), mula menyertai Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 29 Julai 1991.
"Beliau yang berpengalaman luas dalam sektor operasi dan sektor pencegahan juga pernah berkhidmat di SPRM Pahang, SPRM Sarawak, SPRM Perak, Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Bahagian Pengurusan Sumber Manusia dan Bahagian Perisikan," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan sembilan pegawai SPRM turut menerima watikah surat pemangkuan dan kenaikan pangkat serta penempatan daripada Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada 13 Februari lepas.
Antaranya ialah Datuk Idris Zaharudin yang dilantik sebagai Pengarah Kanan Bahagian Perisikan, Datuk Mohd Hafaz Nazar (Pengarah Kanan MACA), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin (Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas) dan Datuk Ahmad Sabri Mohamed (Pengarah SPRM Perak).
Turut menerima watikah ialah Datuk Nazli Rasyid Sulong yang dilantik sebagai Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, Ismajuri Ismail (Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Khas), Datuk Saiful Ezral Arifin (Pengarah Kanan, Bahagian Perancangan Governans Nasional), Rasidah Abdul Karim (Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan) dan Hairuzam Mohamad Amin@Hamim (Pengarah SPRM Selangor).
-- BERNAMA
