MELAKA: Seorang bekas pengurus jualan sebuah bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini terhadap atas 58 pertuduhan meminta dan menerima rasuah bagi membantu dua firma guaman berbeza untuk mendapatkan kes rujukan berkaitan pinjaman perumahan daripada sebuah bank pada 2017 hingga 2022.

Mohamad Faqih Mustapha, 36, didakwa meminta dan menerima suapan bernilai RM600,903 daripada firma guaman berkenaan sebagai upah mendapatkan rujukan kes-kes melibatkan urusan pinjaman perumahan tersebut dengan sebuah bank oleh pegawai eksekutif yang berkhidmat di bawah seliaannya.

Dia didakwa dengan 29 pertuduhan meminta suapan melibatkan jumlah RM305,465, manakala 29 pertuduhan lagi atas kesalahan menerima rasuah meibatkan nilai RM295,438.

Semua kesalahan itu dilakukan di Maybank cawangan Melaka Main di Jalan Hang Tuah, di sebuah restoran di Plaza Mahkota dan di Malaysia Building Society Berhad (MBSB) cawangan Melaka di Taman Melaka Raya, dalam tempoh Jun 2017 hingga September 2022.

Mohamad Faqih dituduh mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Noor Julieana Yahaya memohon mahkamah mengenakan jaminan RM210,000 beserta syarat tambahan menyerahkan pasport antarabangsa dan melaporkan diri ke ibu pejabat SPRM Melaka sekali setiap bulan sehingga tamat perbicaraan atas faktor keseriusan kesalahan dan nilai yang terlibat.

Bagaimanapun Peguam Andrew Lourdes dan Chua Yong Yi yang mewakili tertuduh merayu agar jaminan dikenakan sekitar RM60,000 memandangkan anak guamnya sudah 14 bulan tidak bekerja dan perlu menanggung isteri yang juga tidak bekerja dan tiga orang anak.

Hakim Elesabet Paya Wan membenarkan tertuduh diikat jamin RM87,000 dengan seorang penjamin serta bersetuju dengan semua syarat tambahan yang dicadangkan dan menetapkan 11 April untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA