Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM), Alwiyah Talib, menjangkakan edisi 2025 pasti lebih meriah dan mampu melonjakkan kualiti pemain tempatan menerusi gabungan pemain import.
"Bola jaring sukan asas untuk golongan wanita.
"Semangat kesukanan pasukan menerusi penglibatan pemain import akan memberi saing yang lebih sengit dalam edisi kali ini.
"Kempen 2023 terdiri daripada seramai 11 pemain import sementara kali ini, (kehadiran) 15 pemain dari tujuh negara yang hebat-hebat," katanya dalam pelancaran rasmi NSL 2025 di Stadium Juara, Bukit Kiara, sebentar tadi.
Lagu tema Rule The Court menjadi santapan halwa telinga musim baru NSL selain penggunaan bola rasmi keluaran Figo.
Peminat turut berpeluang memenangi 600 tiket percuma yang ditawarkan menerusi aplikasi MyAstro.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menganggap penganjuran NSL ini akan terus merancakkan kancah bola jaring di samping beberapa pembaharuan dan sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) agar atlet mampu mengimbangi di antara tuntutan kerjaya dan keluarga.
"Antara fokus saya pada tahun ini ialah memperkasakan penyertaan wanita dalam sukan.
"(KBS) telah mewujudkan klinik wanita di Institut Sukan Negara (ISN), KL Sports City. Atlet wanita tidak perlu mencari perkhidmatan di hospital kerajaan dan menunggu lama untuk sesi bertemu doktor.
"KBS juga laksanakan taska untuk atlet dan jurulatih wanita di KL Sports City yang akan dirasmikan bulan ini.
"Ini untuk pastikan atlet wanita yang selepas berkahwin (dan akibat) tiada infrastruktur penjagaan anak, mereka bersara. Ini satu trend dalam bola jaring.
"Pada 2024, kami telah berikan geran padanan sukan berjumlah RM220,000 dan permohonan tahun ini sudah dibuka. Saya meminta supaya PBJM memanfaatkan peluang ini untuk perluaskan bola jaring di seluruh Malaysia," katanya yang kemudiannya diiringi Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John, bagi menyempurnakan majlis tersebut.
Sebanyak lapan pasukan akan berentap merebut kejuaraan musim 2025 yang diketuai Johor Jewels selaku penyandang juara diikuti KL Wildcats dan Perak Phoenix yang pastinya bakal digugat Pahang Tulips, Negeri Sembilan Venom, Selangor Angels, Terengganu Marvels dan Putrajaya Dynamites. -- Stadium Astro