Jabatan itu menerusi anggaran keluaran dalam negara kasar (KDNK) awal yang dikeluarkan hari ini berkata KDNK berkembang 5.1 peratus bagi tempoh dari Januari hingga September 2024, berbanding 3.8 peratus pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.
"Pasaran buruh yang stabil, tekanan inflasi yang sederhana, dasar fiskal dan monetari yang menggalakkan, serta pemulihan berterusan dalam aktiviti pelancongan dijangka meneruskan momentum pengembangan dalam ekonomi domestik," kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan pada Isnin.
Berdasarkan petunjuk yang dikeluarkan jabatan itu, nilai jualan perdagangan borong dan runcit meningkat 6.7 peratus pada Julai dan menyederhana kepada 4.7 peratus pada Ogos 2024.
Sementara itu, Indeks Pengeluaran Perindustrian berkembang 5.3 peratus dan 4.1 peratus masing-masing pada Julai dan Ogos 2024.
"Bagi sektor luaran, perdagangan Malaysia menunjukkan daya tahan dengan pertumbuhan eksport sebanyak 7.8 peratus dan pertumbuhan import 20.8 peratus pada suku tahun ini." kata Mohd Uzir.
Beliau berkata prestasi ekonomi pada suku tahun ini dipacu oleh sektor perkhidmatan yang meningkat sebanyak 5.1 peratus (Suku Kedua 2024: 5.9 peratus), diterajui oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, pengangkutan dan penyimpanan dan perkhidmatan perniagaan.
Selain itu, sektor pembuatan mencatatkan peningkatan yang lebih baik kepada 5.7 peratus berbanding 4.7 peratus pada suku tahun sebelumnya, disokong terutamanya oleh produk elektrik, elektronik dan optikal serta produk petroleum, kimia, getah dan plastik.
Sektor pembinaan terus melonjak dengan pertumbuhan 19.5 peratus, meningkat daripada 17.3 peratus berikutan prestasi kukuh dalam semua segmen, terutamanya aktiviti pembinaan pertukangan khas dan bangunan bukan kediaman.
Manakala sektor pertanian meningkat lebih perlahan pada suku tahun ini pada 4.0 peratus berbanding 7.2 peratus pada suku kedua 2024, berkutan pertumbuhan sederhana dalam subsektor kelapa sawit.
Bagaimanapun, sektor perlombongan dan pengkuarian menyusut 3.4 peratus berbanding pertumbuhan 2.7 peratus pada suku tahun sebelumnya, dipengaruhi oleh penurunan dalam subsektor gas asli dan minyak mentah dan kondensat.
Susulan anggaran awalan ini, laporan awal KDNK yang menyediakan set data analisis terperinci dan komprehensif bagi suku ketiga 2024 akan dikeluarkan pada 15 November 2024. - BERNAMA