NEW YORK: Boeing, syarikat gergasi aeroangkasa dan pertahanan Amerika Syarikat (AS) yang berpangkalan di Chicago, mengunjurkan pada Jumaat bahawa kerugiannya akan semakin besar dan pendapatan akan merosot pada suku keempat, lapor agensi berita Jerman dpa.

Keputusan ini terutamanya dipengaruhi oleh pemberhentian kerja dan perjanjian dengan Persatuan Antarabangsa Pekerja Mesin dan Aeroangkasa (IAM) serta caj untuk beberapa program pertahanan, angkasa lepas dan keselamatan.

Susulan keputusan awal suku keempat, saham Boeing turun sebanyak 1.8 peratus dalam dagangan lanjutan di NYSE.

Dalam aktiviti prapasaran, saham kini turun 1.7 peratus, kepada US$175.56.

Saham Boeing ditutup dalam dagangan biasa Khamis lalu pada harga US$178.50, naik 2.12 peratus.

Kelly Ortberg, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Boeing berkata: "Walaupun kami menghadapi cabaran jangka pendek, kami mengambil langkah penting untuk menstabilkan perniagaan kami sepanjang suku ini, termasuk mencapai perjanjian dengan rakan sekerja yang diwakili oleh IAM dan menjalankan pengumpulan modal yang berjaya untuk memperbaiki kedudukan kewangan kami."

"Kami juga memulakan semula pengeluaran model 737, 767 dan 777/777X, dan pasukan kami tetap fokus pada kerja keras yang mendatang untuk membina masa depan baharu bagi Boeing."

Bagi suku keempat, syarikat meramalkan kerugian setiap saham sebanyak US$5.46 dan pendapatan sebanyak US$15.2 bilion.

Pada suku yang sama tahun sebelumnya, Boeing melaporkan kerugian bersih sebanyak US$0.04 setiap saham, kerugian teras sebanyak US$0.47 setiap saham dan jumlah pendapatan sebanyak US$22.02 bilion, yang didorong terutamanya oleh jumlah komersial yang lebih tinggi.

Penganalisis Wall Street menjangkakan Boeing melaporkan kerugian sebanyak US$1.66 setiap saham dengan pendapatan sebanyak US$15.16 bilion bagi suku tersebut. Anggaran penganalisis biasanya tidak termasuk item khas.

Pada suku tersebut, bahagian pesawat komersial dijangka melaporkan pendapatan sebanyak US$4.8 bilion dan margin operasi negatif 43.9 peratus.

Bahagian pertahanan, angkasa lepas dan keselamatan dijangka melaporkan pendapatan sebanyak US$5.4 bilion dan margin operasi negatif 41.9 peratus.

Syarikat itu menyatakan bahawa keputusan pesawat komersial akan mencerminkan kesan yang berkaitan dengan pemberhentian kerja dan perjanjian IAM, termasuk penghantaran yang lebih rendah dan caj pendapatan sebelum cukai sebanyak AS$1.1 bilion pada program 777X dan 767.

Caj sebelum cukai program 777X adalah sebanyak US$0.9 bilion, yang mencerminkan kos buruh yang lebih tinggi berkaitan dengan muktamadnya perjanjian IAM.

Caj ini akan ditanggung selama beberapa tahun akan datang. Syarikat itu berkata ia masih menjangkakan penghantaran pertama 777-9 pada 2026.

Bagi program pertahanan, angkasa lepas dan keselamatan, syarikat meramalkan caj pendapatan pracukai sebanyak US$1.7 bilion untuk program KC-46A, T-7A, Commercial Crew, VC-25B, dan MQ-25.

Caj sebelum cukai program KC-46A sebanyak US$0.8 bilion mencerminkan kos pengeluaran yang lebih tinggi, termasuk kesan pemberhentian kerja IAM dan perjanjian tersebut.

Caj pracukai untuk program T-7A sebanyak US$0.5 bilion didorong terutamanya oleh kos yang lebih tinggi pada lot pengeluaran pada 2026 dan seterusnya.

Syarikat itu juga meramalkan aliran tunai operasi sebanyak US$3.5 bilion untuk suku terkini. Tunai dan pelaburan dalam sekuriti boleh niaga berjumlah US$26.3 bilion pada akhir suku tersebut.

Boeing merancang untuk melaporkan keputusan suku keempatnya pada 28 Jan. - BERNAMA