SEOUL: Sebuah pesawat penumpang Korea Selatan terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Gimpo pada Isnin akibat masalah gear pendaratan, sehari selepas insiden serupa yang menyebabkan nahas pesawat semasa mendarat, lapor agensi berita Yonhap seperti dipetik Xinhua.


Ringkasan AI
  • Pesawat Jeju Air penerbangan 7C101 terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Gimpo pada Isnin akibat masalah gear pendaratan, sehari selepas insiden serupa yang menyebabkan nahas pesawat di Muan.
  • Pesawat Boeing 737-800 dengan 161 penumpang itu mengalami masalah gear pendaratan sejurus selepas berlepas dari Gimpo menuju ke Jeju, menyebabkan ia terpaksa mendarat semula dengan selamat.
  • Sehari sebelum itu, sebuah lagi pesawat Boeing 737-800 milik Jeju Air mengalami kegagalan gear pendaratan semasa mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, menyebabkan nahas yang meragut 179 nyawa.


Pesawat Jeju Air penerbangan 7C101 dengan 161 penumpang berlepas dari Gimpo pada 6.37 pagi waktu tempatan (2137 GMT Ahad) menuju ke pulau peranginan Jeju.

Bagaimanapun, masalah pada gear pendaratan dikesan sejurus selepas berlepas, menyebabkan pesawat jenis Boeing 737-800 itu terpaksa berpatah balik dan mendarat pada 7.25 pagi waktu tempatan.

Insiden ini berlaku sehari selepas sebuah lagi pesawat Boeing 737-800 milik Jeju Air terlibat dalam nahas ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, kira-kira 290 kilometer di barat daya Seoul.

Pesawat yang disyaki mengalami kegagalan gear pendaratan itu dilaporkan mendarat tanpa roda, menyebabkan ia tergelincir dari landasan dan melanggar dinding pagar luar landasan.

Nahas itu mengakibatkan fiuslaj pesawat pecah serta terbakar.

-- BERNAMA