WASHINGTON: Boeing pada Isnin mengumumkan rancangan untuk menyelesaikan mogok yang sedang berlangsung oleh kesatuan pekerja terbesarnya dengan tawaran baharu merangkumi kenaikan gaji 30 peratus dan pemulihan pembayaran bonus tahunan, yang pada awalnya dirancang untuk dihapuskan.

Boeing menggambarkan tawaran itu sebagai "tawaran kontrak terbaik dan terakhirnya," sambil menegaskan bahawa pihaknya membuat penambahbaikan yang ketara dalam bidang-bidang utama bagi memenuhi tuntutan kesatuan, lapor agensi berita Jerman dpa.

"Kami telah membuat penambahbaikan ketara untuk menyediakan peruntukan kewangan tambahan dalam bidang-bidang utama," menurut syarikat itu.

Para pekerja mempunyai masa sehingga tengah malam Jumaat untuk menerima tawaran itu, menurut Boeing.

Kesatuan terbesar Boeing, IAM yang mempunyai kira-kira 33,000 pekerja melancarkan mogok pada 13 Sept selepas 95 peratus daripada ahlinya menolak cadangan tawaran syarikat itu untuk tempoh empat tahun.

Tawaran yang ditolak sebelum ini menawarkan kenaikan gaji 25 peratus selama empat tahun, namun para pekerja menuntut kenaikan sebanyak 40 peratus.

Mogok itu menjejaskan pengeluaran Boeing di sekitar Seattle di barat laut Amerika Syarikat, di mana model termasuk 737 yang paling laris terjual dan 777 untuk penerbangan jarak jauh dihasilkan.

Boeing kini ketinggalan dalam penghantaran model 737 kepada banyak syarikat penerbangan.

Kesatuan itu kali terakhir melancarkan mogok pada 2008, yang berlangsung selama 57 hari dan menyebabkan kerugian dianggarkan AS$2 bilion, menurut penganalisis.

-- BERNAMA