KUALA LUMPUR: Polis Selangor mengesahkan satu laporan polis yang diterima oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat daripada seorang pegawai perubatan yang bertugas di zon merah Jabatan Kecemasan Hospital Sultan Idris Shah Serdang.

Menurut Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan, berdasarkan laporan, pengadu yang sedang bertugas pada Jumaat jam 7.30 pagi menerima tiga pesakit lelaki disyaki warga asing dalam keadaan sedar dan mengalami kecederaan kesan tembakan di anggota badan.

"Hasil siasatan mendapati pada Jumaat kira-kira jam 3 pagi semasa pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menjalankan tugas rondaan perairan di Tanjung Rhu, bot mereka dilanggar empat kali oleh bot milik suspek.

"Semasa kejadian, dua suspek dipercayai warga asing yang berada di dalam bot cuba menyerang pihak APMM dengan menggunakan parang.

"Bagi mempertahankan diri dan keselamatan, anggota APMM melepaskan beberapa das tembakan ke arah bot tersebut.

"Bot tersebut berjaya melarikan diri ekoran keadaan yang gelap. Pada jam lebih kurang 9 pagi, pihak APMM terima maklumat orang awam, terdapat sebuah bot terdampar di pesisir Pantai Banting, Selangor.

"APMM pergi ke lokasi bot yang terdampar dan menjumpai dua lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri," katanya dalam satu kenyataan lewat malam tadi.

Hussein berkata, APMM bertindak menunda bot tersebut sehingga ke pengkalan APMM di Pelabuhan Klang dan mendapatkan bantuan ambulans.

Hasil pemeriksaan mendapati, seorang lelaki telah meninggal dunia manakala seorang lagi masih hidup dan dalam keadaan kritikal.

Salah seorang daripada suspek yang cedera dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk mendapatkan rawatan.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Kes ini juga turut disiasat di bawah Seksyen 186 akta sama atas kesalahan menghalang penjawat awam semasa menjalankan tugas yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 jika disabit kesalahan dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960 bagi kesalahan melepaskan tembakan yang memperuntukkan hukuman penjara selama satu tahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya sekali. 

Sementara itu, Bernama melaporkan, Pengarah Maritim Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam mengenai sebuah bot fiber yang tersadai di beting lumpur, kira-kira 0.4 batu nautika barat daya Pulau Carey, pagi semalam.

“Pemeriksaan lanjut menemukan dua lelaki disyaki warga Indonesia di dalam bot terbabit. Pasukan ambulans dari HTAR Klang tiba di jeti dan memberikan rawatan awal. 

"Seorang disahkan meninggal dunia di lokasi manakala seorang lagi yang cedera dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.