ISTANBUL: Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev secara terbuka mendakwa Rusia telah menembak pesawat penumpang Azerbaijan Airlines J2-8243 pada 25 Disember lepas, menyebabkan ia terhempas.

Media tempatan Azerbaijan melaporkan, Aliyev membuat dakwaan tersebut sewaktu ditemu ramah di Lapangan Terbang Baku

Aliyev juga telah mendakwa Rusia cuba menyembunyikan punca sebenar insiden tersebut, dan mendesak agar Kremlin untuk memohon maaf segera.

Sebelum ini, pihak berkuasa Azerbaijan membayangkan bahawa pesawat tersebut terkena tembakan oleh sistem pertahanan udara Rusia sewaktu ia cuba mendarat di Grozny, ibu kota Republik Chechnya.

Insiden itu telah meragut 38 nyawa daripada keseluruhan 67 orang yang berada di atas pesawat.

Aliyev berkata, faktanya menunjukkan pesawat penumpang Azerbaijan itu mempunyai kesan tembakan sewaktu terbang di atas Rusia, berhampiran Grozny, dan hampir hilang kawalan.

Katanya lagi, sistem elektronik peperangan Rusia juga telah mengakibatkan pesawat itu hilang kawalan, dan pada masa yang sama diburukkan dengan tembakan di luar pesawat.

Walaupun ia mungkin tidak disengajakan, Aliyev berkata, kerajaan marah kerana Rusia cuba menyembunyikan fakta.

Justeru Aliyev mendesak Rusia untuk memohon maaf, mengaku salah, menghukum mereka yang bertanggungjawab, serta membayar pampasan kepada Kerajaan Azerbaijan, serta ahli keluarga mangsa yang terkorban dan yang terselamat.