WASHINGTON: Pemandu sebuah Cybertruck Tesla disahkan cedera akibat tembakan di kepala sebelum kenderaan itu meletup di luar hotel Trump di Las Vegas hingga mengorbankan satu nyawa dan mencederakan tujuh yang lain, menurut pihak berkuasa.

Sherif Clark County, Kevin McMahill mengenal pasti pemandu sebagai Matthew Livelsberger dalam satu sidang akhbar, lapor Agensi Anadolu.

"Saya menganggapnya sebagai bunuh diri kerana letupan yang berlaku sejurus selepas itu. Saya tidak memberi sebarang label lain.

"Kami tidak menemukan sebarang petunjuk yang menunjukkan kemungkinan individu lain terlibat dalam kes ini," katanya.

McMahill juga mengulas laporan mengenai kemungkinan hubungan antara suspek Las Vegas dan suspek serangan di New Orleans pada awal Tahun Baharu, memaklumkan bahawa kedua-duanya pernah berkhidmat di pangkalan tentera Fort Bragg, North Carolina.

Namun, ia adalah pangkalan tentera yang sangat besar dan tiada rekod yang menunjukkan mereka berkhidmat dalam unit yang sama atau pada tahun yang sama di Fort Bragg, katanya sambil memaklumkan perkara itu masih dalam siasatan.

Kedua-dua suspek turut dihantar ke Afghanistan pada 2009, tetapi tiada bukti mereka berada di wilayah, lokasi atau unit yang sama semasa penempatan itu.

"Kami juga tahu, sudah tentu, bahawa kedua-duanya menggunakan syarikat penyewaan, Turo untuk menyewa kenderaan mereka," katanya.

Sementara itu, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) berkata tiada "kaitan yang pasti" antara serangan maut di New Orleans dan letupan kenderaan di luar hotel Trump di Las Vegas.

Dalam serangan di French Quarter di New Orleans, pemandu sebuah trak pikap bertindak merempuh orang ramai di Bourbon Street, membunuh sekurang-kurangnya 15 orang dan mencederakan lebih 30 yang lain.

Suspek dikenali sebagai Shamsud-Din Jabbar, 42, berasal dari Texas.

"Terdapat lima video yang dimuat naik di akaun Facebook Jabbar... Dalam video pertama, Jabbar menjelaskan bahawa dia pada asalnya merancang untuk membahayakan keluarganya dan rakan-rakannya, tetapi bimbang bahawa tajuk berita tidak akan memfokuskan pada 'perang antara orang beriman dan orang kafir.'

"Selain itu, dia menyatakan bahawa dia telah menyertai ISIS sebelum musim panas ini," kata Timbalan Penolong Pengarah FBI Christopher Raia.

Raia menggelar serangan itu sebagai "tindakan keganasan."

"Ia telah dirancang dan satu tindakan jahat," tambahnya.

Tiga telefon bimbit yang dikaitkan dengan Jabbar ditemukan dan "eksploitasi media digital adalah keutamaan untuk melihat apa yang terdapat dalam peranti itu dan menentukan jika terdapat sebarang petunjuk lanjut".

Beliau berkata FBI turut mendapatkan semula dua komputer riba dan kini sedang menyemaknya untuk mencari petunjuk lain.

McMahill menyentuh "persamaan yang sangat aneh" antara kedua-dua kejadian itu: "Kami belum bersedia untuk membuat sebarang kesimpulan pada ketika ini; masih banyak yang perlu kami lakukan dalam siasatan."

Ejen Khas FBI, Spencer Evans berkata pihak berkuasa masih menyiasat motif di sebalik letupan di Las Vegas.

-- BERNAMA