KUALA LANGAT: Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) akan mula mengkreditkan Bantuan Kasih kepada hampir 1,000 penerima yang layak bermula hujung bulan ini.

Pengerusinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini susulan keputusan dibuat pada Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah yayasan berkenaan pada Dis lepas, untuk memberi bantuan secara bulanan berbanding tahunan seperti yang dilakukan sebelum ini.

"Bantuan Kasih ini akan disalurkan kepada hampir 1,000 penerima dengan implikasi kewangan sebanyak RM3 juta setahun dan jumlah ini dijangka meningkat kerana kita masih menerima borang permohonan baharu dan sedang dalam proses tapisan," katanya ditemui selepas Ziarah Kasih sempena Tahun Baharu Cina di Jenjarom, di sini semalam.

Ismail Sabri berkata Bantuan Kasih merangkumi dua kategori umur iaitu Kategori A (sejak lahir sehingga 15 tahun) menerima sebanyak RM200 sebulan, manakala Kategori B melibatkan penerima berusia 16 tahun sehingga tamat Ijazah Sarjana Muda Pertama akan menerima RM250 sebulan.

"YKM juga ingin menyeru orang ramai yang terkesan akibat COVID-19 untuk menghubungi di talian 03-22027493 atau e-mel ke admin@yayasankeluargamalaysia.org.my, bagi mendapatkan bantuan yang sewajarnya mengikut syarat dan kelayakan yang telah ditetapkan oleh YKM," katanya.

Ismail Sabri berkata YKM akan menyantuni seramai 16 kanak-kanak berketurunan Cina yang kehilangan ibu bapa akibat pandemik COVID-19, sempena Tahun Baharu Cina.

Beliau berkata ia menerusi sumbangan khas sebanyak RM300, yang dikreditkan ke dalam akaun penerima terbabit di seluruh negara mulai semalam.

-- BERNAMA