Kajian yang dijalankan oleh Airbnb dan Get Safe Online mendapati purata kerugian akibat penipuan kini mencecah GBP1,937 (AS$2,412), dengan angka tersebut meningkat secara berterusan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Kajian itu juga menyatakan bahawa penipuan berkaitan tempahan percutian merupakan antara bentuk penipuan paling lazim di UK, selepas penipuan kad kredit dan serangan pancingan data.
Airbnb berkata AI dan media sosial semakin memburukkan keadaan, dengan penyelidikan menunjukkan bahawa walaupun 68 peratus responden yakin mereka boleh mengenal pasti iklan palsu percutian, hampir dua pertiga gagal mengenal pasti imej hartanah percutian yang dihasilkan oleh AI apabila ditunjukkan kepada mereka.
Selain itu, Airbnb memberi amaran bahawa golongan muda lebih berisiko terdedah kepada penipuan di media sosial, selepas kajian mendapati lebih 40 peratus individu bawah usia 30 tahun mencari atau menempah percutian menerusi media sosial, manakala lebih satu pertiga dalam kumpulan usia sama menyatakan mereka sanggup membuat pembelian besar jika ia diiklankan oleh seorang personaliti media sosial atau selebriti.
Airbnb menerbitkan angka tersebut bertepatan dengan tempoh paling sibuk untuk tempahan percutian sempena sambutan Easter, berdasarkan datanya.
Sebagai respons, syarikat penyewaan hartanah itu mengeluarkan beberapa garis panduan keselamatan bersama Get Safe Online bagi membantu orang ramai mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan percutian.
Antara langkah yang disarankan termasuk mengelak daripada mengklik pautan yang mencurigakan, melaporkan sebarang penipuan yang disyaki serta berwaspada terhadap tawaran yang terlalu murah atau memerlukan deposit tinggi.
Pengguna juga disarankan agar tidak membuat bayaran melalui pindahan wang terus ke akaun bank, sebaliknya menggunakan platform yang dipercayai untuk menempah dan membayar, serta memastikan akaun dalam talian mereka dilindungi dengan kata laluan kukuh dan pengesahan dua faktor.
Pengurus Besar UK dan Eropah Utara Airbnb, Amanda Cupples, berkata: "Ketika orang ramai merancang percutian Easter mereka, pelancong harus sentiasa berwaspada ketika mencari tawaran perjalanan.
"Teknologi baharu semakin berkembang pesat dan menggunakan platform yang dipercayai untuk menempah, membayar dan berkomunikasi adalah kaedah terbaik untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.
"Kami mempunyai langkah perlindungan untuk memastikan tempahan di Airbnb selamat, termasuk proses pembayaran yang selamat serta sokongan seperti AirCover."
Ketua Pegawai Eksekutif Get Safe Online, Tony Neate, berkata: "Apabila mencari tawaran terbaik untuk percutian yang dinantikan, seperti yang dinyatakan dalam penyelidikan, tahun ini lebih penting daripada sebelumnya untuk berwaspada ketika membuat tempahan perjalanan.
"Dari segi pembayaran, sentiasa gunakan platform yang dipercayai, yang menawarkan perlindungan lebih baik berbanding menyerahkan wang kepada seseorang yang tidak dikenali. Dan percayalah pada gerak hati anda - jika sesuatu tawaran kelihatan terlalu bagus untuk menjadi kenyataan, maka besar kemungkinan ia adalah penipuan."
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)