KUALA LUMPUR: Peneraju utama industri perfileman tempatan, Astro Shaw terus mengorak langkah dengan memperkenal inisiatif baharu yang dinamakan Astro Shaw Cinematic Universe.

Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, ia adalah platform untuk menjalin kerjasama bersama studio produksi, tenaga kreatif serta bakat anak seni tempatan bagi mengembangkan naratif filem yang berkualiti dan inovatif.

Jelasnya, langkah ini dijangka menjadi pemangkin kepada revolusi dalam industri sinema Malaysia sekali gus mengukuhkan kedudukan industri perfileman negara di persada antarabangsa.

“Kami yakin ramai yang membesar dengan filem-filem terbitan Astro Shaw sejak penubuhannya pada tahun 1996. Namun, industri filem tempatan masih bergelut, terutama dengan persaingan kandungan dari platform OTT dan media sosial.

“Astro Shaw Cinematic Universe ini adalah langkah kami untuk menyokong ekosistem sinema Malaysia, mencipta peluang baharu buat pembikin filem dan mendekatkan masyarakat dengan karya sinematik tempatan,” katanya selepas pelancaran inisiatif berkenaan, di sini, pada Rabu.

Projek berkenaan bakal menghimpunkan pelbagai filem dan siri premium yang diinspirasikan daripada francais popular seperti Polis Evo, Keluang Man, dan High Council Universe.

Antara judul yang diumumkan termasuk Polis Evo 4 dan siri Evo Academy, francais Keluang Man seperti Keluang Man, Baling, Patani, Keluang Man 2, Besut dan Kataha serta siri premium Kudrat 1968 dari High Council Universe.

Lebih menarik, Astro Shaw merancang untuk menghasilkan gabungan filem besar pada 2028 yang akan mempertemukan watak-watak utama daripada pelbagai naratif.

“Berbeza dengan universe superhero antarabangsa, Astro Shaw Cinematic Universe tidak hanya bergantung pada watak adiwira semata-mata, sebaliknya menumpukan kepada naratif yang saling berkait dan unik.

“Selain kutipan box office, kami juga meneroka sumber baharu seperti merchandise, integrasi jenama dan platform lain bagi memastikan jangka hayat karya yang diterbitkan lebih panjang. Inisiatif ini adalah yang pertama seumpamanya, sekali gus mencipta sejarah baharu untuk sinema Malaysia,” ujarnya.

Jelas beliau, tahun ini menyaksikan Astro Shaw lebih rancak menjalin kolaborasi strategik dengan pelbagai jenama untuk mempromosikan filem di bawah ASCU.

Antaranya termasuk iklan komersial Kopi Edisi Kluang bersama Wonda untuk filem Keluang Man, kolaborasi bersama Mirinda untuk filem The Experts dan kerjasama Tune Talk dan Grab untuk filem Kahar: Kapla High Council.

Sebarang maklumat lanjut mengenai Astro Shaw Cinematic Universe boleh didapati di laman web rasmi www.astroshawuniverse.com atau melalui akaun media sosial Astro Shaw.