Menurut perintah itu, setiap agensi hanya dibenarkan mengambil seorang pekerja bagi setiap empat pekerja yang bersara atau menamatkan perkhidmatan.
Bagaimanapun, dasar itu tidak terpakai ke atas pembekuan pengambilan pekerja di Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri (IRS) dan dikecualikan bagi fungsi berkaitan keselamatan awam, penguatkuasaan imigresen serta penguatkuasaan undang-undang.
"Semua pejabat yang melaksanakan fungsi yang tidak dimandatkan dalam peraturan atau undang-undang lain hendaklah diutamakan dalam RIF (pengurangan tenaga kerja) termasuk semua inisiatif agensi berkaitan kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman (DEI), semua inisiatif, komponen atau operasi agensi yang dihentikan oleh pentadbiran saya; serta semua komponen dan pekerja yang menjalankan fungsi tidak diwajibkan oleh undang-undang dan bukan tergolong sebagai kakitangan penting semasa kekangan peruntukan," menurut perintah itu.
Perintah itu juga tidak terpakai kepada anggota tentera, manakala ketua agensi boleh mengecualikan mana-mana jawatan yang dianggap penting untuk keselamatan negara, keselamatan tanah air atau tanggungjawab keselamatan awam.
Selain itu, ketua agensi diwajibkan merujuk kepada ketua Jabatan Kecekapan Kerajaan bagi keputusan pengambilan pekerja.
Pejabat Pengurusan Kakitangan Rumah Putih baru-baru ini mengumumkan tawaran "pampasan," yang menawarkan kira-kira lapan bulan gaji kepada pekerja persekutuan yang memilih untuk meletak jawatan.
Namun, bagi mereka yang memutuskan untuk kekal dalam jawatan semasa, pejabat itu menyatakan bahawa "kami tidak dapat memberi jaminan penuh mengenai kedudukan atau agensi anda."
Tarikh akhir bagi tawaran itu ditetapkan pada Khamis, tetapi beberapa jam sebelum tamat tempoh, Hakim George A. O'Toole Jr. dari Mahkamah Daerah Amerika Syarikat bagi Daerah Massachusetts menangguhkan sementara pelaksanaan pelan "pampasan" itu.
Pada Isnin, beliau melanjutkan lagi penangguhan itu.
Menurut laporan NBC News, lebih 60,000 pekerja bersetuju untuk meletak jawatan sebagai sebahagian daripada usaha pentadbiran Trump mengurangkan tenaga kerja kerajaan secara drastik, merangkumi kira-kira tiga peratus daripada dua juta kakitangan persekutuan.
Langkah pengurangan tenaga kerja secara besar-besaran ini telah mencetuskan beberapa protes di Washington, D.C.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)