WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, tidak berusaha untuk melembutkan cadangannya pada hari Selasa untuk memindahkan rakyat Palestin di Gaza dan membangunkan semula wilayah tersebut sebagai kawasan perumahan mewah, walaupun tetamunya di Pejabat Oval, Raja Abdullah II dari Jordan, memberi isyarat bahawa dunia Arab menentang rancangan tersebut.

Sebaliknya, Trump mengulangi pandangannya bahawa rakyat Palestin harus dipindahkan keluar dari wilayah yang musnah itu ke “kawasan” di negara ketiga, termasuk Jordan, walaupun pemimpin negara-negara tersebut membantah.

“Ia bukan perkara yang rumit untuk dilakukan. Dan dengan Amerika Syarikat mengawal kawasan itu, sebuah kawasan yang agak besar, anda akan melihat kestabilan di Asia Barat buat pertama kalinya,” kata Trump di Pejabat Oval.

Raja Abdullah yang duduk di sebelah Trump, tidak secara terang-terangan menolak idea Presiden AS itu.

Namun, ketidakselesaannya terhadap rancangan itu jelas kelihatan apabila beliau memberi isyarat bahawa cadangan alternatif untuk Gaza akan dikemukakan.

“Saya fikir kita harus ingat bahawa terdapat rancangan dari Mesir dan negara-negara Arab,” kata Raja Abdullah.

“Saya rasa yang penting ialah bagaimana kita boleh menjadikan perkara ini berfungsi dengan cara yang baik untuk semua pihak.”

Raja Abdullah turut menitipkan nasihat “jangan terlalu mendahului” walaupun kenyataan Trump jelas menunjukkan beliau serius untuk meneruskan rancangan yang didedahkannya seminggu lalu.

Pada Selasa, Trump berkata, beliau tidak perlu mengugut Jordan dengan bantuan kewangan untuk memaksa mereka menerima rakyat Palestin dari Gaza sebagai sebahagian daripada rancangannya untuk penguasaan AS ke atas wilayah tersebut.

Apabila ditanya sama ada beliau masih mempertimbangkan untuk menahan bantuan kepada Jordan dan Mesir sekiranya mereka menolak rancangan itu, Trump menjawab: “Saya tidak mahu mengatakan begitu, kerana kami mempunyai hubungan yang baik dan kami telah mencapai banyak kemajuan dalam masa yang singkat sejak perbincangan ini bermula.”

“Tidak, saya rasa kita akan lakukan sesuatu. Saya tidak perlu mengugut dengan wang,” tambahnya.
Lawatan Raja Abdullah berlaku dalam saat genting bagi gencatan senjata di Gaza. Hamas menuduh Israel melanggar gencatan senjata dan berkata ia menghentikan pembebasan tebusan berikutnya yang ditangkap semasa serangan 7 Oktober 2023.

Trump berulang kali mencadangkan AS mengambil alih Gaza dan menjadikannya sebagai “Riviera Timur Tengah” dengan rakyat Palestin di wilayah bergolak itu dipindahkan ke negara jiran tanpa hak untuk kembali.

Kenyataan Trump pada pertemuan dengan Raja Abdullah bercanggah dengan cadangannya sehari sebelum itu yang berbaur ugutan iaitu beliau akan menahan dana AS kepada Jordan dan Mesir - sekutu lama AS dan penerima utama bantuan asingnya - sebagai cara untuk memujuk mereka menerima lebih ramai rakyat Palestin dari Gaza.

Jordan menempatkan lebih daripada dua juta rakyat Palestin dan bersama negara Arab lain, secara tegas menolak rancangan Trump untuk memindahkan orang awam dari Gaza.

Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi pada minggu lalu berkata, penolakan negaranya terhadap idea Trump adalah “teguh dan tidak berubah.”

Selain kebimbangan mengenai risiko terhadap matlamat penyelesaian dua negara dalam konflik Israel-Palestin, Mesir dan Jordan secara peribadi menyuarakan kebimbangan keselamatan mengenai menerima sejumlah besar pelarian tambahan ke negara mereka walaupun secara sementara.

Raja Abdullah juga bertemu dengan pegawai tertinggi pentadbiran Trump semasa lawatannya, termasuk Setiausaha Negara. Marco Rubio; Penasihat Keselamatan Negara, Mike Waltz; Utusan Asia Barat, Steve Witkoff dan Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth, serta sekumpulan penggubal undang-undang bipartisan di Capitol Hill.

Beliau merupakan pemimpin asing ketiga yang mengadakan pertemuan secara bersemuka dengan Trump sejak beliau mengangkat sumpah sebagai Presiden AS pada 20 Januari lalu.

Trump mengumumkan ideanya untuk menetap semula rakyat Palestin dari Gaza dan mengambil alih wilayah itu untuk AS semasa sidang media minggu lalu bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Presiden pada mulanya tidak menolak kemungkinan menghantar tentera AS untuk membantu mengamankan Gaza tetapi dalam masa yang sama menegaskan, tiada dana AS akan digunakan untuk membiayai pembinaan semula wilayah itu, menimbulkan persoalan asas mengenai sifat rancangannya.

Selepas kenyataan awal Trump, Rubio dan Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt, menjelaskan, Trump hanya mahu rakyat Palestin dipindahkan dari Gaza secara “sementara” dan mencari tempoh “peralihan” untuk membolehkan pembersihan sisa runtuhan, pelupusan bahan letupan yang tidak meletup, dan pembinaan semula.

Namun, dalam satu temu bual dengan Bret Baier dari Fox News yang disiarkan pada hari Isnin sama ada rakyat Palestin di Gaza akan mempunyai hak untuk kembali ke wilayah itu di bawah rancangannya, Trump menjawab: “Tidak… mereka tidak akan memilikinya.” - Agensi