Penemuan itu dibuat susulan arahan eksekutif yang ditandatangani Presiden AS, Donald Trump bagi mendedahkan semua fail berkaitan insiden pembunuhan JFK.
Menurut laporan Axios pada Isnin, FBI mengeluarkan 2,400 dokumen yang sebelum ini tidak diserahkan kepada jawatankuasa khas yang menyiasat dan mendedahkan fail JFK.
Pejabat Pengarah Perisikan Negara (ODNI) turut mendedahkan kewujudan dokumen berkenaan ketika mengemukakan pelan pendedahan kepada umum.
Sumber yang mempunyai akses kepada dokumen itu mengesahkan penemuan tersebut berlaku ketika proses semakan semula.
Difahamkan, Pengarah Perisikan Negara (DNI) dan Peguam Negara dijangka mengumumkan pelan mereka untuk mendedahkan dokumen JFK pada Jumaat.
Kedua-dua pejabat itu, bersama Pembantu Presiden bagi Hal Ehwal Keselamatan Negara dan Penasihat Presiden, diberikan tempoh sehingga penghujung hari Jumaat untuk membentangkan cadangan pendedahan tersebut.
Bulan lalu, Trump menandatangani perintah eksekutif bagi mendedahkan fail berkaitan pembunuhan JFK, abangnya Robert F Kennedy dan aktivis hak sivil, Martin Luther King Jr.
Ketika kempen pilihan raya 2024, Trump berjanji akan mendedahkan semua dokumen JFK.
Bagaimanapun, ketika penggal pertamanya sebagai Presiden, Trump menangguhkan pendedahan dokumen terakhir selepas mendapat rayuan daripada CIA dan FBI.
Beliau menyifatkan pendedahan itu boleh memberi ‘bahaya yang tidak boleh dipulihkan’ kepada keselamatan negara, penguatkuasaan undang-undang dan hubungan luar AS.
Ketika menandatangani perintah eksekutif baharu itu di Rumah Putih pada 23 Januari lalu, Trump berkata, segalanya akan didedahkan.
Pembunuhan JFK pada 22 November 1963 di Dallas kekal sebagai salah satu kes paling kontroversi dalam sejarah AS.
Suspek utama, Lee Harvey Oswald, ditembak mati dua hari kemudian oleh Jack Ruby, mencetuskan pelbagai teori konspirasi berhubung insiden tersebut. - Sinar Harian memetik Agensi