NEW ORLEANS: Bourbon Street di New Orleans dibuka semula pada Khamis, sehari selepas "serangan pengganas" di New Orleans yang meragut sekurang-kurangnya 14 nyawa.

Dalam pada itu, pelancong dilihat berjalan dan berbual dengan anggota polis termasuk agen FBI yang ditugaskan memantau situasi di lokasi yang menjadi destinasi pelancongan popular di New Orleans itu.

FBI dalam satu kenyataan memaklumkan, suspek yang maut dikenal pasti sebagai Shamsud-Din Jabbar, 42, bekas anggota tentera dari Texas.

FBI pada Khamis mengesahkan Jabbar bertindak sendirian dalam serangan tersebut.

Serangan itu berlaku di Blok 100 Bourbon Street, yang telah diisytiharkan sebagai kawasan jenayah dan ditutup sehingga FBI menyelesaikan siasatan selepas menemukan dua alat letupan buatan sendiri serta beberapa peralatan lain di dalam kenderaan suspek.

Pasukan keselamatan dengan bantuan anjing pengesan bom, memeriksa kawasan itu dan lokasi lain di New Orleans, termasuk stadium bola sepak Superdome, bagi memastikan tiada alat letupan lain yang diletakkan.