DAMSYIK: Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) pada Sabtu mengeluarkan gambar yang memaparkan wajah seorang wartawan dari Amerika Syarikat (AS), Austin Tice yang hilang di Syria pada 2012.

Menerusi hantaran di X, gambar tersebut disunting bagi memberi gambaran kemungkinan rupa paras beliau pada usia 40-an.

Langkah itu diambil untuk mendapatkan maklumat yang boleh membawa kepada lokasi, pemulihan dan kepulangan selamat Tice susulan kejatuhan rejim Bashar Al-Assad.

FBI turut menegaskan komitmen mereka bersama kerajaan untuk membawa pulang Tice kepada keluarganya.

Ganjaran sehingga AS$1 juta juga diberikan bagi maklumat yang membawa kepada kepulangan beliau.

Tice, seorang wartawan bebas yang pernah berkhidmat dengan agensi berita seperti CBS dan The Washington Post, dilaporkan hilang pada 14 Ogos 2012.

Insiden itu berlaku beberapa hari selepas ulang tahun kelahirannya yang ke-31.

Beliau dipercayai telah dihentikan di sebuah pos pemeriksaan di pinggir bandar Damsyik semasa membuat liputan perang saudara Syria.