ANKARA: Pasukan teknikal terdiri daripada 25 anggota dari Turkiye telah mula bekerja di Syria untuk membaik pulih Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik, kata Menteri Pengangkutan dan Infrastruktur Turkiye Abdulkadir Uraloglu pada Ahad, menurut laporan Xinhua.

"Pasukan kami yang terdiri daripada kakitangan Direktorat Am Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Negara telah dikerahkan untuk memulihkan Lapangan Terbang (Antarabangsa) Damsyik, yang mengalami kerosakan teruk dan tidak dapat beroperasi akibat perang saudara Syria selama 13 tahun," kata Uraloglu dalam satu kenyataan bertulis.

Beliau berkata pasukan itu memasuki Syria melalui Pintu Sempadan Cilvegozu di wilayah Hatay, selatan Turkiye, pada 7 Feb.

Menurutnya, pasukan teknikal itu terdiri daripada pakar dalam bidang navigasi, elektronik trafik udara, elektronik terminal, keselamatan serta penyelamatan dan pemadaman kebakaran lapangan terbang, yang turut menghantar bahan-bahan penting ke lapangan terbang berkenaan.

"Bagi memastikan operasi penerbangan selamat di lapangan terbang dan ruang udara Syria, kami telah menghantar 113 kenderaan, peranti serta sistem melalui enam trak. Pasukan kami bukan sahaja memasang peralatan yang diperlukan tetapi juga akan melengkapkan latihan kepada kakitangan lapangan terbang," katanya.

Kerja-kerja pembaikan telah dijalankan ke atas beberapa sistem bantuan navigasi udara yang rosak akibat perang atau tidak berfungsi selama bertahun-tahun. Selain itu, dua sistem pemancar dan penerima radio baharu telah dipasang di menara kawalan, menurut Uraloglu.

Bagi meningkatkan keselamatan lapangan terbang, Turkiye telah menyediakan 10 mesin X-ray, empat pengesan bahan letupan, 10 pengesan logam pintu laluan serta lapan pengesan tangan, tambahnya.

"Pasukan kami, yang bekerja secara koordinasi dengan pegawai Syria, telah menyelesaikan pemasangan kebanyakan peranti ini. Usaha untuk terus meningkatkan tahap keselamatan Lapangan Terbang (Antarabangsa) Damsyik masih diteruskan, dengan penilaian serta laporan yang diperlukan sedang disediakan," katanya.

Turkiye, yang memutuskan hubungan diplomatik dengan Syria pada 2012, telah menyatakan sokongan terhadap peralihan aman di negara itu selepas kejatuhan pemerintahan bekas Presiden Syria Bashar al-Assad. Ankara turut berjanji untuk menyokong pentadbiran baharu Syria dalam usaha membangunkan semula negara itu serta memperkukuh struktur kenegaraannya.

-- BERNAMA