Dalam kenyataan hari ini, CTOS berkata kempen itu bertujuan memberikan rakyat Malaysia pengetahuan dan alat untuk mengawal masa depan kewangan mereka, bermula dengan memeriksa sama ada skor kredit mereka 'hijau'.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CTOS Digital Bhd Erick Hamburger berkata kempen itu bertujuan menghasilkan kaedah yang menyeronokkan dan mudah difahami dalam membimbing rakyat Malaysia untuk menguruskan kredit dan meningkatkan pengetahuan kewangan mereka.
"Kami di sini untuk membantu. Di CTOS, kami ingin memainkan peranan dalam membimbing generasi muda supaya kekal bermaklumat dan mengawal kewangan mereka.
"Akhirnya, kami berharap pemahaman mengenai skor kredit mereka akan memberikan perspektif yang lebih baik tentang tabiat perbelanjaan dan memperkasakan mereka untuk membuat keputusan kewangan yang bijak," katanya.
CTOS berkata kempen itu juga bertujuan memainkan peranan dalam membimbing rakyat Malaysia, terutamanya golongan dewasa muda untuk kekal menguasai kredit mereka.
Baru-baru ini, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melaporkan 53,000 golongan muda di bawah usia 30 tahun dibebani dengan hutang terkumpul berjumlah RM1.9 bilion.
Kebanyakannya akibat menyara keluarga yang besar, mengekalkan gaya hidup tertentu, membayar pinjaman perumahan, dan membeli kenderaan yang mungkin melebihi kemampuan mereka.
-- BERNAMA
