Ringkasan AI
- Malaysia mengambil alih kepengerusian ASEAN daripada Laos pada 1 Januari 2025, setelah kali terakhir memegang tanggungjawab ini pada tahun 2015.
- Filem dan sinema dianggap sebagai medium penting dalam diplomasi dan perpaduan ASEAN, dengan potensi untuk membina hubungan dan apresiasi terhadap keunikan dan kepelbagaian rantau ini.
- Filem dan sinema juga mempunyai peranan dalam Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC), Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), dan Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC), menjadikannya komponen penting dalam mencapai aspirasi gabungan ini.
Serentak dengan dentuman bunga api sambutan malam tahun baharu di seluruh negara – tepat jam 12 tengah malam pada tanggal 1 Januari yang lalu – Malaysia secara rasmi mengambil alih kepengerusian ASEAN daripada Laos, setelah majlis serah tugas tersebut berlangsung pada 11 Oktober lalu di kota Vientiane.
Kuala Lumpur sekali lagi akan menerajui negara anggota ASEAN setelah kali terakhir menjalankan tanggungjawab itu pada tahun 2015.
ASEAN, singkatan kepada Association of Southeast Asian Nations yang ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 di Bangkok, merupakan sebuah pertubuhan yang terdiri daripada 10 negara di Asia Tenggara.
Hasrat penubuhannya adalah untuk mempromosikan kerjasama dalam bidang politik, ekonomi, kebudayaan, dan keselamatan serantau serta memperkukuh hubungan antara negara anggota bagi memastikan kestabilan, keamanan, dan kemajuan di rantau Asia Tenggara.
Dianggotai 10 buah negara anggota, dengan jumlah penduduk sekitar 680 juta orang, ia juga menjadi rumah untuk lebih 1,500 etnik.
Meski Indonesia menjadi negara terbesar dari segi saiz dan juga populasi, namun Singapura sebagai negara terkecil mempunyai pendapatan per kapita tertinggi.
Brunei pula satu-satunya negara ASEAN yang mengamalkan pemerintahan monarki mutlak, di samping beberapa negara lain pula mengamalkan pemerintahan republik dan raja berperlembagaan.
Manakala Vietnam dan Laos merupakan negara republik sosialis dengan dasar ekonomi yang progresif.
Semua yang dinyatakan ini mungkin sebahagian trivia tentang ASEAN yang telah ramai tahu, namun pada saya cukup untuk menjadi gambaran awal tentang dinamika geo-politik di rantau ini.
Dinamika yang menjadikan ASEAN sebagai sebuah gabungan serantau yang istimewa. Dinamika itu jugalah yang membawa kepada kerencaman; antara isu dan harapan.
Namun, dalam sebuah pemaparan di layar cerita, kerencaman itulah yang menjadi perencah yang menyelerakan – sebagai refleksi kita meneliti – dan terus mencari ASEAN dalam sebuah bingkai di layar.
Mencari ASEAN yang bukan sekadar gabungan beberapa negara yang terpisah sempadan politik – tetapi juga mencari sebuah identiti dalam sebuah kepelbagaian.
Mungkin ia kedengaran terlalu idealis oleh masyarakat awam, namun melalui filem jugalah ia mampu dimurnikan dengan pendekatan yang lebih mesra di mata dan telinga setiap daripada kita.
Ini semua selari dengan Deklarasi Kuala Lumpur yang ditandatangani ketika kali terakhir Malaysia menjadi pengerusi pada tahun 2015, iaitu hasrat ASEAN menjadi sebuah usaha antara negara yang berteraskan masyarakat (people-centred & people-oriented ASEAN).
Filem dan sinema mempunyai kekuatan untuk menjadi perantara diplomasi tanpa sempadan, yang mampu bukan sekadar untuk memahami, tetapi juga untuk merasakan semangat perpaduan ASEAN dalam kepelbagaian yang ada.
Dalam konteks peribadi, kerjaya dalam bidang perfileman sepanjang tempoh lebih dua dekad telah membuka jalan untuk saya melihat lebih dekat sekali gus membina hubungan akrab dengan komuniti dari negara-negara Asia Tenggara, khususnya dalam tempoh 10 tahun terakhir.
Ia telah membuka mata saya tentang bagaimana filem mampu memainkan peranan yang berkesan dalam mencapai segala matlamat, termasuklah hasrat gagasan penubuhan ASEAN, sesuai dengan pengaruh besar dunia yang dimiliki filem dan kandungan kreatif pada masa kini.
Sepanjang tempoh tersebut, saya berpeluang mengunjungi negara-negara Asia Tenggara ini dalam pelbagai kapasiti dan kegiatan, berulang kali, yang hampir kesemuanya berkaitan dengan kerjaya saya dalam bidang perfileman.
Tidak sekadar tuntutan perjalanan rasmi untuk tujuan pekerjaan, perjalanan saya itu telah membina ikatan persahabatan dengan ramai teman-teman dalam bidang perfileman dari setiap negara yang dilawati, sekali gus membuka ruang perspektif baharu saya tentang bagaimana saya melihat ASEAN.
Perfileman mampu menjadi platform dialog ke arah membina hubungan yang lebih baik dengan pelbagai pihak – individu dan organisasi – yang berada dalam wilayah ini.
Malah, filem dan sinema mempunyai kemampuan yang signifikan sebagai mencari solusi ideal dalam usaha membawa semangat perpaduan di wilayah ini.
Sebagai medium seni yang mempunyai pengaruh besar, filem dan sinema mampu memangkin usaha membina apresiasi terhadap keunikan dan kepelbagaian yang dimiliki ASEAN.
Atas semua keunikan dan kepelbagaian yang dimiliki, tidak hairanlah apabila pengamat sinema dunia kini semakin melirik ke arah karya-karya dari rantau ini.
Pemerkasaan filem dalam usaha diplomasi negara anggota ini adalah bersesuaian dengan keberadaan tunggak Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) yang menjadi salah satu tunggak utama dalam Piagam ASEAN yang telah dikuatkuasa pada tahun 2008, yang mana telah meningkatkan peranan komponen sosio-budaya termasuklah perfileman dalam mencapai aspirasi gabungan ini.
Malah, dengan sifat perfileman yang juga boleh dilihat sebagai sebuah komoditi ekonomi kreatif serta mempunyai keupayaan komunikasi berpengaruh yang efektif, ia juga mampu memainkan peranan aktif dalam dua tunggak yang lain iaitu Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dan Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC).
Maka, setelah melihat pentingnya signifikan filem untuk terus diperkasa dalam perbincangan diplomatik para pemimpin negara, maka sepanjang tahun 2025, saya akan menulis kolum dwimingguan yang diberikan judul `Diplomasi Filem ASEAN` ini – sebagai sebuah catatan peribadi – kenangan, pengalaman, pandangan serta impian - untuk melihat harapan membina ASEAN yang lebih baik melalui perfileman.
Ia juga satu sumbangan kecil saya sebagai seorang warganegara dalam meraikan Kepengerusian ASEAN- Malaysia 2025, sekali gus memperlihatkan bagaimana industri filem dan dunia sinema mampu untuk turut memainkan peranan.
Ia juga untuk memperlihatkan bahawa setiap ahli masyarakat dari pelbagai bidang bukan sahaja boleh, tetapi juga mampu untuk menyumbang ke arah membina rantau yang inklusif untuk kita semua.
Kita semua mampu.
Nota: Untuk membaca lebih lanjut tentang inisiatif ini, boleh dilayari di www.diplomasifilem.com.
Penulis merupakan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF) dan Pengarah Urusan bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd.
Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.