Ringkasan AI
- Negara-negara anggota ASEAN digesa mengurangkan dasar perlindungan perdagangan untuk menjayakan integrasi ekonomi dan perjanjian perdagangan baharu, serta menghadapi cabaran ekonomi global secara bersama.
- Tahap kemajuan yang berbeza antara negara anggota ASEAN menjadi cabaran utama dalam menjayakan integrasi ekonomi serantau. Perdagangan dalam kalangan negara ASEAN masih kurang daripada 25 peratus.
- DEFA menjadi agenda rundingan utama dalam AEM 2025, dengan fokus untuk memperkukuh kerjasama industri dan memastikan manfaat integrasi ASEAN dirasai oleh semua negara anggota, bukan hanya pemain besar.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, ini supaya blok itu dapat mendepani cabaran ekonomi global secara bersama.
“Hari ini kita berada di dalam dunia multipolar, jadi kita perlu membincangkan cara untuk mengurangkan impak fenomena ini, dan memperdalam kerjasama perdagangan dan pelaburan di antara kita melalui rangka kerja ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian di sela Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) 2025 di sini hari ini.
Katanya, antara cabaran yang didepani untuk menjayakan integrasi ekonomi serantau adalah tahap kemajuan negara anggota ASEAN yang berbeza.
“Jika kita lihat perdagangan dalam kalangan negara ASEAN, ia kurang daripada 25 peratus. Dan bila kita lihat imbangan dagangan, ada negara yang mencatat lebihan dagangan, dan ada yang mencatatkan defisit,” katanya.
Beliau memetik contoh Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA), yang menjadi antara agenda rundingan AEM tahun ini, tetapi masih berdepan kesukaran untuk mendapat persetujuan semua negara anggota.
“(Kami sedang melihat) industri yang boleh kita pupuk kerjasama dengan lebih kukuh melalui DEFA, untuk menjadikannya lebih inklusif.
“Ini kerana cabaran yang dihadapi oleh negara-negara peneraju ASEAN adalah untuk memastikan bukan pemain besar sahaja yang mendapat manfaat daripada integrasi ASEAN,” katanya.
AEM 2025 mengumpulkan Menteri, Timbalan Menteri atau Ketua Pengarah Perdagangan 10 negara anggota ASEAN dan satu negara pemerhati di bawah kepengerusian Malaysia.
Ia dimulakan dengan Mesyuarat Persediaan Pegawai-Pegawai Ekonomi Kanan (SEOM) selama dua hari pada 26 dan 27 Februari 2025, dan diakhiri dengan pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN pada 28 Februari ini.
