Ringkasan AI
- Pemain industri gig meminta kerajaan menangguhkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig pada bulan Disember depan.
- Menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Khamis, mereka percaya bahawa penangguhan itu akan memberi manfaat kepada kejayaan inisiatif ini selain menghasilkan RUU yang seimbang.
- Pihaknya juga kekal komited untuk terlibat dalam dialog yang konstruktif dan kerjasama dengan kerajaan bagi merealisasikan objektif yang dimaksudkan, serta akhirnya mencapai impak.
Menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Khamis, mereka percaya bahawa penangguhan itu akan memberi manfaat kepada kejayaan inisiatif ini selain menghasilkan RUU yang seimbang.
‘’Sebagai pemegang taruh utama dalam ekonomi gig Malaysia, kami menghargai usaha kerajaan dalam mencadangkan RUU Pekerja Gig.
‘’Namun kami bimbang kerana pihak pemain industri dan pekerja gig tidak diberikan perundingan sepenuhnya, dengan draf penuh pindaan yang dicadangkan tidak dikongsi, serta proses maklum balas yang terhad.
‘’Bagi memastikan rangka kerja yang seimbang dan berinformasi, kami memohon penangguhan pembentangan RUU ini pada bulan Disember, dengan keyakinan bahawa pendekatan kolaboratif dan tempoh masa yang lebih panjang akan memberikan manfaat kepada kejayaan inisiatif ini,’’ jelas kenyataan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Foodpanda, GoGet, Grab, Halo Delivery, Kiddocare dan Lalamove.
Selain itu, kenyataan itu menjelaskan, penangguhan itu akan membolehkan perundingan yang lebih menyeluruh dengan kedua-dua pekerja gig dan pemain industri.
Jelas kenyataan itu lagi, mereka juga kekal komited untuk terlibat dalam dialog yang konstruktif dan kerjasama dengan kerajaan bagi merealisasikan objektif yang dimaksudkan, serta akhirnya mencapai impak.
Mereka antara lain mencadangkan agar kerajaan meneliti beberapa perkara sebelum pembentangan RUU ini.
Ia membabitkan enam cadangan termasuk libat urus bersama pemegang taruh, proses penilaian yang inklusif, definisi pekerja gig yang inklusif, pampasan yang dipacu pasaran, perlindungan sosial sukarela dan sesi dialog.
Awal November lalu, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memaklumkan akan membawa Kerangka Dasar Pekerjaan dan Perundangan Dalam Ekonomi Gig Malaysia ke Parlimen Disember ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, kerangka itu disediakan bagi pembentangan RUU Perbekalan 2025.