Ringkasan AI
- Penangguhan RUU Pekerja Gig: Kerajaan memutuskan untuk menangguhkan Rang Undang-undang (RUU) Pekerja Gig yang sepatutnya dibentangkan di Parlimen pada Disember ini, memberi ruang untuk proses libat urus lebih banyak pihak.
- Keprihatinan Platform Gig: Platform ekonomi gig seperti Foodpanda, Grab dan lain-lain menggesa kerajaan untuk dialog kolaboratif sebelum penggubalan RUU, menyatakan kebimbangan bahawa pemain industri dan pekerja gig tidak diberi ruang perundingan yang mencukupi.
- Status MJM: Memorandum Jemaah Menteri (MJM) mengenai cadangan menggubal akta baharu untuk pekerja gig telah siap disediakan dan diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 12 Julai lalu.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Sumber Manusia (KESUMA), Steven Sim Chee Keong dalam mesyuarat Kabinet pada Jumaat.
"Dalam mesyuarat hari ini Jumaat, saya sahkan perkara ini dibincangkan dan memang Jemaah Menteri dimaklumkan bahawa Menteri Sumber Manusia berhasrat menangguhkan dulu.
“Ini bagi memberi ruang dan peluang lebih banyak proses libat urus dengan pelbagai pihak,” katanya dalam sidang media di Kementerian Komunikasi, di sini, pada Jumaat.
Semalam, platform ekonomi gig menggesa kerajaan melaksanakan dialog kolaboratif sebelum penggubalan RUU Pekerja Gig.
Foodpanda, Grab, Halo Delivery, Kiddocare, GoGet dan Lalamove melalui satu kenyataan bersama menjelaskan, sebagai pemegang taruh utama dalam ekonomi gig nasional, usaha kerajaan dalam mencadangkan RUU berkenaan sangat dihargai.
Namun, platform utama itu menyatakan kebimbangan bahawa pemain industri mahupun pekerja gig tidak diberi ruang perundingan apabila mendakwa draf penuh cadangan pindaan tidak dikongsi selain proses maklum balas juga terhad.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, Memorandum Jemaah Menteri (MJM) mengenai cadangan menggubal akta baharu khusus untuk pekerja gig telah siap disediakan.
Katanya, ia sudah dibentang dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 Julai lalu dan MJM berkenaan telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada tarikh sama.