Beliau berkata seluruh barisan kepimpinan serta rakyat Malaysia bersolidariti bersama rakyat Palestin dan mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan kejam Haniyeh.
"Pembunuhan ini telah secara langsung menyumbang kepada 'escalation of the war'. Ia menjadikan prospek perang di Gaza terus membarah, dan mengheret pelbagai negara di Asia Barat ke kancah peperangan.
"Ini akan menjadikan dunia berhadapan krisis keselamatan global yang lebih meruncing seterusnya mengancam pertumbuhan dan kestabilan ekonomi dunia serta kesejahteraan manusiawi," katanya ketika membaca pernyataan beliau untuk usul solidariti bersama rakyat Palestin di Dewan Negara, hari ini.
Pernyataan itu adalah sebagai respons pembunuhan kejam Haniyeh yang juga bekas Perdana Menteri Palestin dalam satu serangan udara yang menyasarkan kediamannya di Tehran, Iran semalam.
[LAPOR LANGSUNG]: Solat jenazah ghaib Ismail Haniyeh di tiga masjid utama malam ini - JAKIM
Mohamad berkata pembunuhan Haniyeh yang merupakan perunding utama gencatan senjata itu juga telah membantutkan usaha untuk mencapai gencatan senjata dan mewujudkan keamanan yang kekal di Palestin.
"Bagaimana mungkin usaha gencatan senjata dapat diteruskan apabila pemain dan perunding utama gencatan senjata itu dibunuh dengan kejam. Semua ini jelas menunjukkan matlamat sebenar rejim Israel iaitu untuk meneruskan agenda genosid, kezaliman dan keganasan terhahap rakyat Palestin.
"Yang terbunuh kali ini bukan sahaja seorang pemimpin utama Palestin, tetapi juga prospek untuk keamanan yang kekal," katanya.
Mohamad Hasan berkata kerajaan Malaysia berpandangan bahawa usaha untuk mencegah konflik di Palestin dari terus memuncak bukan sahaja gagal, tetapi telah menemui jalan buntu.
Beliau berkata kerajaan menjangka akan terdapat tindak balas yang tidak dapat dibendung susulan pembunuhan Haniyeh, yang pasti akan menyebabkan lebih banyak korban, kemunusahan dan penderitaan.
Mohamad berkata Malaysia kekal menjadi negara yang waras dan pro-kemanusiaan berhubung isu itu dan akan konsisten dalam mempertahankan sokongan serta pendirian terhadap pembebasan Palestin.
"Kita tegas bahawa pencerobohan dan penjajahan rejim Zionis Israel ke atas Palestin adalah penindasan yang nyata, melanggar undang-undang antarabangsa dan zalim.
"Malaysia teguh dengan penegasan dasar luar kita bahawa hak dan kepentingan rakyat Palestin, mesti diperjuangkan, dalam setiap forum, dalam setiap ketetapan, usul dan tindakan di peringkat nasional dan juga antarabangsa," katanya.
Beliau berkata Malaysia menyokong setiap segmen, kelompok dan perikatan politik kebangsaan Palestin sebagai wakil yang sah untuk bangsa Palestin dan menganggap mereka sebagai pejuang kemerdekaan dan pembebasan yang sah dan mesti dihormati.
"Mereka yang menentang pendirian sedemikian adalah mereka yang diskriminatif dan sengaja membutakan mata dan akal dari segala fakta dan kebenaran," katanya.
Terdahulu Ahli Dewan Negara bertafakur selama seminit untuk menghormati pemergian Haniyeh selepas Mohamad membuat penerangan berhubung perkara tersebut di bawah Peraturan Mesyuarat 89 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara sebelum usul tersebut dibahas oleh empat Senator.
-- BERNAMA