KUALA LUMPUR: Tindakan menurunkan hantaran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh di Facebook mungkin dilakukan oleh peringkat lebih tinggi dalam Meta Platforms Inc (Meta) dan bukan dilakukan pasukan mereka di Asia Tenggara, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata dalam beberapa siri perbincangan bersama pengurusan Meta peringkat Asia Tenggara setakat ini, pihak terbabit memberi bayangan bukan mereka yang menurunkan hantaran di platform Facebook dan Instagram itu.

"...ada kemungkinan (ia) berlaku di peringkat lebih tinggi. Pasukan Meta di rantau ini juga keliru kenapa ia berlaku, jadi saya tak salahkan mereka kerana ini bukan tindakan di pihak mereka (Meta Asia Tenggara) jadi kita tunggu penjelasan yang lebih mendalam.

"Saya difahamkan mungkin akan ada delegasi Meta datang ke Kuala Lumpur, mungkin minggu depan, untuk memberi penjelasan (apa sebenarnya berlaku), jadi kita beri masa kepada mereka," katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas hadir mengiringi Perdana Menteri menunaikan solat Jumaat dan mengikuti Khutbah Khas sempena Hari Pahlawan 2024 bertajuk Perjuangan Demi Nusa Tercinta di Masjid Negara di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Fahmi berkata tindakan menurunkan hantaran oleh Meta seperti apa yang berlaku kepada Perdana Menteri tidak sepatutnya berlaku kepada sesiapa.

"Agak kelakar apabila Amerika Syarikat melaungkan kebebasan bersuara, kebebasan menyampaikan pandangan, tapi saya lihat Meta dalam bab ini, mereka sepatutnya amalkan apa yang mereka sering perjuangkan, jika tidak - ia adalah hipokrasi," katanya.

Media Iran melaporkan bahawa Haniyeh terbunuh dalam serangan udara yang didakwa dilakukan oleh Israel di lokasi penginapannya di utara Tehran kira-kira pukul 2 pagi waktu tempatan, Rabu.

Haniyeh berada di Tehran untuk menghadiri majlis angkat sumpah Presiden baru Iran Masoud Pezeshkian.

-- BERNAMA